Ahad, 2 Januari 2022 | 1:28pm
Pengusaha restoren terapung menambah tali ikatan rakit masing masing bagi menggelakkan ia hanyut dibawa arus Sungai Tembeling. - Foto NSTP/Roselan Ab Malek
Pengusaha restoren terapung menambah tali ikatan rakit masing masing bagi menggelakkan ia hanyut dibawa arus Sungai Tembeling. - Foto NSTP/Roselan Ab Malek

Pengusaha restoran terapung Kuala Tahan henti operasi

JERANTUT: 15 pengusaha restoran terapung di Taman Negara, Kuala Tahan memberhentikan sementara operasi masing-masing sebagai persediaan menghadapi ancaman gelombang kedua banjir.

Sebelum ini, restoran terapung berkenaan sering menjadi tarikan kepada pelancong kerana dapat menikmati makanan tempatan dan barat di atas air sungai Tembeling sambil menikmati keindahan Taman Negara.

Pemilik restoran terapung, Mawar Restaurant, Dar Abdullah, 50, berkata ketika ini sebahagian besar pengusaha restoran memberhentikan operesi perniagaan dan menumpukan kepada keselamatan rakit masing-masing.

"Biasanya pada pengujung tahun sehingga awal bulan Januari air sungai Tembeling deras kerana musim hujan apatah lagi amaran gelombang kedua banjir ketika ini.

"Pada masa ini, semua pengusaha restoran terapung sudah bersiap sedia dan akan memastikan rakit mereka berada dalam keadaan selamat apabila berlaku banjir," katanya.

Katanya, rakit akan ditarik ke tebing sungai terutama ke kawasan yang selamat dan jauh dari arus deras Sungai Tembeling.

Selain itu tali ikatan rakit ditambah bagi memastikan ia tidak mudah dihanyutkan oleh air deras.

Beliau berkata, walaupun air sungai Tembeling masih di paras berjaga-jaga mereka mengambil langkah berwaspada, bimbang air naik dengan cepat apabila hujan turun di kawasan hulu sungai.

"Kami bimbang air naik dengan mendadak pada tengah malam apabila air dari hulu sungai turun dan kami tidak sempat mengalihkan rakit kami ke tebing sungai.

"Kami tidak boleh boleh tidur malam kerana setiap dua jam kami akan menengok paras air, jika air naik kami kena naikkan ikatan, jika air surut kami terpaksa longgarkan ikatan agar tidak tersadai di tepi tebing sungai" katanya.

Berita Harian X