Sabtu, 1 Januari 2022 | 2:38pm

Kebun pisang musnah ditenggelami banjir

KUALA KRAI: Seorang pekebun kecil dari Kampung Chuchoh Puteri A, di sini, menanggung kerugian lebih RM5,000 selepas kebun pisangnya ditenggelami air setinggi 0.6 meter, Khamis lalu.

Zaleha Mat Nawi, 52, berkata kejadian itu menyebabkan lebih 100 pokok pisang yang ditanam di belakang rumahnya, yang terletak pada jarak 100 meter dari Sungai Golok di Kuala Krai musnah sekelip mata.

Katanya, beliau terkejut apabila melihat kawasan kebun pisangnya bertukar menjadi tasik selepas ditenggelami air berikutan peningkatan mendadak paras air sungai akibat hujan lebat.

"Kebanyakan pokok pisang yang ditanam sudah mencapai tempoh matang dan hasil boleh diambil untuk dijual kepada pemborong di sekitar Kuala Krai. Namun, semuanya musnah kerana ditenggelami air dan saya tidak sempat untuk memasarkannya.

"Bagaimanapun, saya reda. Ini bukan kali pertama kebun yang diusahakan bersama suami, Nik Zakuan Nik Mahmood, 52, sejak lebih lima tahun lalu ditenggelami banjir.

"Kami akan menanam semula anak pokok pisang selepas banjir reda," katanya ketika ditemui di Kampung Chuchoh Puteri A, di sini, hari ini.

Ibu kepada lima anak berusia antara 14 tahun dan 34 tahun itu berkata, pada 2019 episod sama berlaku dan beliau kerugian lebih RM10,000 selepas 300 pokok pisangnya musnah ditelan 'kepala air'.

"Setiap kali musim banjir saya sudah bersedia berdepan dengan kerugian, sama ada tanaman musnah ditenggelami atau dihanyutkan arus banjir.

"Saya tidak berputus asa dengan apa yang berlaku dan akan berusaha untuk terus mengusahakan tanaman pisang yang menjadi sumber rezeki keluarga," katanya.

Zaleha menunjukkan kebun pisangnya yang ditenggelami air banjir di Kampung Chuchoh Puteri A. - Foto NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI
Zaleha menunjukkan kebun pisangnya yang ditenggelami air banjir di Kampung Chuchoh Puteri A. - Foto NSTP/HAZIRA AHMAD ZAIDI
Berita Harian X