Selasa, 28 Disember 2021 | 1:35pm
Sukarelawan turut sama membantu membersihkan kesan lumpur akibat banjir di Tabika Kemas Kampung Chennah, Jelebu, 26 Disember lalu. FOTO BERNAMA
Sukarelawan turut sama membantu membersihkan kesan lumpur akibat banjir di Tabika Kemas Kampung Chennah, Jelebu, 26 Disember lalu. FOTO BERNAMA

Sukarelawan diingat patuhi SOP, elak penyakit berjangkit

JEMPOL: Sukarelawan yang membantu mangsa banjir dinasihatkan lebih berhati-hati bagi mengelakkan penyakit berjangkit.

Selain COVID-19, penyakit Leptospirosis atau kencing tikus antara penyakit yang kerap berlaku selepas banjir.

Pegawai Latihan, Akademi Bomba Wilayah Timur, Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Zulkifli Che Noh, berkata risiko paling besar bagi anggota penyelamat dalam operasi selain lemas adalah penyakit berjangkit.

Katanya, selain COVID-19, anggota penyelamat turut berdepan penyakit kencing tikus yang boleh menyebabkan kematian.

"Adalah amat penting bagi sukarelawan yang turun membantu di lapangan seperti membersih rumah memakai pakaian yang sesuai dengan berkasut getah dan bersarung tangan.

"Dalam keadaan persekitaran yang kotor, ambillah langkah berjaga-jaga dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menjamin keselamatan diri," katanya.

Zulkifli berkata, niat murni membantu penduduk, tidak sepatutnya menjadi musibah kepada sukarelawan pula. Individu tidak sihat perlu elak menjadi sukarelawan.

Katanya, amalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan dan muka sebelum makan atau minum serta segera mendapatkan rawatan jika berasa kurang sihat selepas menyertai misi bantuan.

Berita Harian X