Ahad, 26 Disember 2021 | 8:22am
Asmadi (kiri) dan Zulkhairi meninjau barangan bantuan MUIP untuk mangsa banjir di Depot JKM Pahang.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Asmadi (kiri) dan Zulkhairi meninjau barangan bantuan MUIP untuk mangsa banjir di Depot JKM Pahang.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MUIP salur bantuan RM1 juta kepada 777 pusat pemindahan

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk membeli barangan keperluan mangsa banjir di 777 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata peruntukan berkenaan disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan diperlukan di setiap PPS.

"JKM membekalkan sembilan jenis keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk dimasak oleh petugas di PPS yang terputus hubungan. Antaranya beras, sardin, gula, biskut, ayam dalam tin dan tepung yang dapat digunakan selama seminggu.

"Lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, selimut serta bantal turut disediakan," katanya selepas melawat depot barangan JKM, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Dr Asmadi berkata, pihaknya yakin JKM dapat mengurus bantuan mangsa banjir disediakan MUIP dengan sebaik mungkin, barangan keperluan asas dibekalkan oleh Pasaraya DarulMakmur (PDM).

Berita Harian X