Jumaat, 17 Disember 2021 | 9:31am
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar menyerahkan lesen sampan khas kepada nelayan pada Program Penyerahan Bantuan Input Perikanan dan Lesen Sampan Khas Negeri Pahang . -Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar menyerahkan lesen sampan khas kepada nelayan pada Program Penyerahan Bantuan Input Perikanan dan Lesen Sampan Khas Negeri Pahang . -Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Pahang peneraju industri perikanan Pantai Timur

KUANTAN: Jumlah pendaratan hasil laut di Pahang mencatatkan lebih 91.2 tan bernilai RM704.54 juta dalam tempoh 10 bulan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, berkata pendaratan hasil laut tahun lalu mencatat lebih 101.3 tan dan subsektor akuakultur mencapai kira-kira 11.7 tan (72.55 peratus).

Menurutnya, pengeluaran ikan laut tahun lalu bernilai kira-kira RM950 juta, akuakultur sebanyak RM250 juta dan perikanan darat (perikanan sungai) bernilai RM11.5 juta serta telah memberi pekerjaan kepada 7,000 nelayan, penternak dan usahawan di negeri ini.

Katanya, ikan darat yang terkenal di negeri ini mencatat hasil lebih 618.9 tan (78.65 peratus). Ia hampir mencapai sasaran yang telah ditetapkan bagi menjamin bekalan makanan kepada rakyat negara ini.

"Dengan adanya 1,600 vesel (bot) termasuk 100 laut dalam, Pahang kini menjadi peneraju industri perikanan di Pantai Timur apabila pengeluaran ikan semua subsektor yang tertinggi berbanding negeri lain.

"Untuk merancakkan lagi industri perikanan di negeri ini kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan, tahun lalu RM2.8 juta disediakan bagi meningkat kepada RM3.9 juta tahun ini," katanya pada Program Penyerahan Bantuan Input Perikanan dan Lesen Sampan Khas Negeri Pahang, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar.

Pada program berkenaan diadakan penyerahan alat Personal Locator Beacon (PLB), bantuan makanan ikan, bantuan dana jaminan makanan, penyerahan lesen sampan dan bantuan meningkatkan aktiviti ternakan.

Mohd Soffi berkata, kini seramai 380 nelayan di negeri ini menerima elaun sara hidup nelayan darat sebanyak RM250 sebulan manakala 995 nelayan laut menerima RM300 sebulan yang membabitkan di daerah ini, Rompin dan Pekan.

Katanya, bagi menampung permintaan benih ikan air tawar dua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi, Bentong dan PPA Perlok, Jerantut terus berusaha meningkatkan pengeluaran pelbagai benih ikan bagi memenuhi permintaan semasa.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini PPA Bukut Tinggi mengeluarkan lebih 2.8 juta benih manakala PPA Perlok menghasilkan lebih 1.3 juta benih. Selain diberikan kepada penternak, benih yang dihasilkan turut dilepaskan ke perairan umum di negeri ini.

Berita Harian X