Khamis, 16 Disember 2021 | 3:38pm
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakihyuddin Abd Rahman (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali (kiri) pada Majlis Perasmian Projek Peladang Usahawan Asnaf di Tapak Projek Usahawan Perladangan dan Pengurusan Ladang Nanas, Jalan Ara Kuda di sini. - Foto NSTP/Danial Saad
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakihyuddin Abd Rahman (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali (kiri) pada Majlis Perasmian Projek Peladang Usahawan Asnaf di Tapak Projek Usahawan Perladangan dan Pengurusan Ladang Nanas, Jalan Ara Kuda di sini. - Foto NSTP/Danial Saad

Tanah wakaf terbiar diusahakan ladang tanaman nanas

TASEK GELUGOR: Tanah wakaf terbiar berkeluasan 2.43 hektar di Kampung Tun Sardon, Jalan Ara Kuda, di sini dibangunkan dengan projek ladang tanaman nanas yang diusahakan asnaf dalam membantu meningkatkan ekonomi golongan itu.

Projek yang bermula Mac tahun lalu itu dikelolakan empat agensi membabitkan Zakat Pulau Pinang (ZPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Wakaf Pulau Pinang, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali, berkata pihaknya bersama tiga agensi lain melaksanakan projek terbabit selepas mengenalpasti tanah wakaf terbiar di Pulau Pinang dalam usaha membantu meningkatkan ekonomi golongan asnaf.

"Ini adalah projek rintis dikenali projek peladang usahawan asnaf yang mana asnaf sendiri akan usahakan ladang ini sebagai petani dan kemudian sebagai usahawan yang akan pasarkannya kepada pihak luar.

"Buat permulaan, kita memilih enam asnaf untuk mengusahakan ladang tanaman nanas ini yang mana pemilihannya amat ketat kerana kita nak pastikan mereka yang terbabit benar-benar berminat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Projek Peladang Usahawan Asnaf, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Jelasnya, terdapat 140,000 pokok nanas ditanam di kawasan itu yang hasil jualannya akan dikembalikan kepada asnaf sebagai bonus selain elaun bulanan yang diberikan secara tetap.

"Setakat ini, projek ini masih belum menghasilkan sebarang keuntungan dan kita yakin masuk tahun kedua nanti akan ada pulangan (untung).

"Kita pula tidak mengambil sebarang untung dalam projek ini yang mana semuanya akan dikembalikan kepada asnaf," katanya.

Amran berkata, selain projek penanaman nanas pihaknya turut sedang mencari tanah wakaf terbiar lain untuk projek tanaman selain nanas, sekali gus dapat membantu lebih banyak asnaf dalam menjana pendapatan.

"Kita sedang cari tanah wakaf terbiar lain untuk bangunkan projek tanaman seperti cili atau sayur-sayuran lain yang mana bukan hanya nanas semata-mata," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, projek yang dilaksanakan adalah strategi pembangunan usahawan asnaf yang tidak sahaja difokuskan kepada pemberian modal tetapi ia secara bersepadu digarap dari aspek keseluruhan iklim keusahawanan yang dinamik.

"Uniknya projek ini membabitkan gabungan pelbagai strategi yang produktif bagi mempersiapkan peserta bersedia menjadi mandiri sebagai usahawan yang keluar dari kelompok asnaf," katanya.

Berita Harian X