Isnin, 6 Disember 2021 | 6:46pm
Abdul Yunus (dua dari kiri) menyerahkan replika cek FPM kepada Nur Shahida (tiga dari kanan) di rumahnya di Parit Mat Ali, Batu 12 1/2 Jalan Pantai Kuala Kurau. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Abdul Yunus (dua dari kiri) menyerahkan replika cek FPM kepada Nur Shahida (tiga dari kanan) di rumahnya di Parit Mat Ali, Batu 12 1/2 Jalan Pantai Kuala Kurau. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

'Saya akan kerja kilang untuk sara keluarga'

PARIT BUNTAR: Nur Shahida Saidin iaitu isteri kepada pemandu lori sayur yang maut akibat runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Sabtu lalu, merancang bekerja kilang bagi menyara kehidupan keluarganya.

Nur Shahida, 31, berkata beliau berhasrat bekerja di kilang berdekatan rumahnya bagi memudahkannya berulang-alik, selain menguruskan dua anak, Nurhannan Fitri Sha, 2, dan Muhammad Hafiy Fahri, tujuh bulan, selepas kematian suaminya, Allahyarham Muhammad Hafiz Hamdi, 31.

"Seminggu sebelum kejadian (tanah runtuh), Allahyarham suami ada maklumkan simpanan wang di bank hampir habis dan membenarkan saya bekerja dengan syarat berdekatan tempat tinggal.

"Saya tidak mahu bekerja di tempat jauh kerana anak masih kecil dan tidak mahu dijaga orang lain," katanya selepas menerima kunjungan Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin Cawangan Taiping di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau serta Pengurus PERKESO Cawangan Taiping, Tunku Shahrain Tunku Salehan.

Abdul Yunus turut menyerahkan baucar Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM2,000 dan Pencen Penakat berjumlah RM1,300 daripada PERKESO kepada Nur Shahida.

Selain Muhammad Hafiz, seorang pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, turut maut dalam kejadian di laluan FT 185, Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulau-Blue Valley pada 2 Disember itu.

Muhammad Hafiz dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands, manakala Chee Heng dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, pihaknya melalui pusat khidmat masyarakat akan membantu mencari pekerjaan untuk Nur Shahida, selain merujuk dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memohon bantuan bersesuaian. - BERNAMA

Nur Shahida ketika urusan menuntut jenazah suaminya di hospital Jumaat lalu. - Foto BERNAMA
Nur Shahida ketika urusan menuntut jenazah suaminya di hospital Jumaat lalu. - Foto BERNAMA

Berita Harian X