Isnin, 6 Disember 2021 | 12:17pm
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat bantu percepat permohonan

KUANTAN: Kerajaan Pahang mewujudkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) bagi memproses dan mempertimbangkan pemberimilikan tanah di bawah Skim Tanah Rakyat (STR).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penubuhan jawatankuasa yang dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 4 Ogos lalu itu juga bermatlamat untuk mempercepatkan proses permohonan individu yang layak mendapatkan tanah sama ada bagi membina rumah atau pertanian.

"Kewujudan JKPSTR dibahagikan kepada tiga wilayah untuk mempercepatkan proses permohonan iaitu wilayah Timur merangkumi Kuantan, Pekan dan Rompin, wilayah Tengah (Maran, Temerloh, Bera dan Jerantut) serta wilayah Barat (Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands).

"Ia dipengerusikan oleh pegawai kerajaan negeri seperti Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan supaya mesyuarat berkaitan permohonan tanah ini boleh diadakan sekerap mungkin," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Wan Rosdy menjawab soalan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) tindakan kerajaan negeri untuk membantu rakyat terutama golongan miskin memiliki tanah termasuk di bawah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) yang juga model kepada pelaksanaan STR.

Sejak 2011 hingga November lalu, Wan Rosdy berkata sebanyak 199 skim tanah berperancangan bagi tujuan pertanian dan 53 skim tanah bagi tujuan pembinaan rumah telah diberikan dengan daerah banyak terbabit ialah Lipis, Temerloh, Jerantut dan Kuantan.

"Kerajan negeri juga ada menerima cadangan supaya keluasan tanah tiga ekar (kira-kira 1.2 hektar) yang diberikan buat masa ini ditambah kepada lima ekar (kira-kira 2 hektar) namun selepas diperhalusi, keluasan sedia ada dikekalkan bagi memberi peluang lebih ramai rakyat memiliki tanah," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X