Ahad, 5 Disember 2021 | 11:24am
 Syed Rafi (kanan) dan Abdullah Fazil gembira khidmat bot pelancong kini aktif semula di Sungai Tembeling.- NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Syed Rafi (kanan) dan Abdullah Fazil gembira khidmat bot pelancong kini aktif semula di Sungai Tembeling.- NSTP/MOHD RAFI MAMAT

Lebih 70 pengusaha bot pelancongan kembali aktif

JERANTUT: Sektor pelancongan yang kembali aktif memberi sinar baharu kepada lebih 70 pengusaha bot pelancong di Taman Negara Pahang.

Selepas hampir dua tahun tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka kini mula menyediakan perkhidmatan apabila semakin ramai pelancong tempatan bercuti ke Taman Negara.

Pemandu bot panjang, Syed Rafi Syed Mohamad, 54, berkata pelaksanaan PKP hampir dua tahun menyebabkan dia tidak dapat meneruskan aktiviti membawa pelancong menyusuri Sungai Tembeling dan Sungai Keniang yang terkenal dalam kalangan pelancong tempatan serta luar negara.

Beliau berkata, sebelum ini hampir setiap minggu dia membawa pelancong melakukan aktiviti memancing di beberapa lubuk, selain bot dijadikan pengangkutan membawa penduduk kampung di sepanjang sungai seperti Kampung Pagi, Kampung Mat Daling, Kampung Bantal dan Kampung Kuala Sat.

Katanya, sepanjang PKP, dia terpaksa melakukan kerja kampung seperti menangkap ikan di sungai bagi menyara keluarga.

"Sejak sektor pelancongan di Taman Negara dibuka semula, saya menyambung aktiviti membawa pelancong menaiki bot untuk pelbagai kegiatan di sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Keniang.

"Saya bersyukur apabila dapat menyambung semula tugas sebagai pemandu bot panjang membawa pelancong memancing, selain melihat keindahan pemandangan sepanjang sungai," katanya.

Beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pemandu bot panjang berharap sektor pelancongan negara terus aktif tahun depan bagi menambahkan lagi sumber rezeki pemandu bot di daerah ini.

Rakannya, Abdullah Fazil Abd Aziz, 37, berkata selepas sektor pelancongan dibuka, ramai pelancong datang ke Taman Negara Pahang dan menggunakan perkhidmatan bot panjang untuk melakukan aktiviti seperti memancing, menyusuri sungai sambil berkelah.

"Saya dan pemandu bot lain berharap sektor pelancongan di Taman Negara Pahang terus aktif sama seperti sebelum ini dan berharap pihak berkaitan dapat mengadakan promosi supaya lebih ramai pelancong datang ke sini yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi," katanya.

Berita Harian X