Sabtu, 4 Disember 2021 | 2:33pm

Ikat sangkar ikan pada pokok elak dihanyut arus deras

KUALA KRAI: Musim tengkujuh yang melanda saban tahun bukan sahaja membimbangkan penduduk, malah ia turut dirasai penternak ikan sangkar di Kampung Batu Lada, Mengkebang.

Rohaimin Yusoff, 49, berkata keadaan cuaca mula tidak menentu menyebabkan dia tidak lena tidur.

Katanya, dia telah mengarahkan pekerjanya memantau 35 sangkar ikan yang diusahakan di Sungai Kelantan sejak Januari lalu kerana bimbang kesemua sangkar berkenaan hanyut dibawa arus sungai deras.

Menurutnya, lebih membimbangkan terdapat hampir 100,000 ikan pelbagai spesis seperti ikan keli, patin, tilapia, baung dan lampam dan di antaranya sudah mencapai tempoh matang, untuk dijual kepada peniaga kedai makan dan restoran di sekitar Kuala Krai.

"Selepas terjejas akibat COVID-19, saya tidak sanggup lagi menanggung kerugian selepas mengeluarkan modal besar untuk mengusahakan ternakan ikan sangkar ini," katanya ketika ditemui di sangkar ikan miliknya di Kampung Batu Lada, di sini, hari ini.

Rohaimin berkata, risiko sangkar dihanyutkan arus deras selain jaring pecah kerana dirempuh balak ketika musim tengkujuh antara igauan ngeri penternak ikan.

Katanya, justeru pelbagai persiapan terpaksa dibuat awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekali gus mengelakkan kerugian.

"Sehingga kini, saya sudah mengambil langkah awal termasuk mengikat sangkar pada pokok berdekatan sungai selain membuat pemantauan pada setiap masa bagi memastikan balak dan bongkah kayu tidak melanggar sangkar.

"Disebabkan sangkar ikan terlalu banyak, saya memecahkannya kepada dua bahagian bagi memastikan sangkar ini tidak memberi beban kepada tali yang diikat pada pokok.

"Dengan cara ini ia dapat membantu mengelak sangkar ikan dihanyutkan arus deras air sungai yang boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya.

Katanya, pada masa sama, dia juga bimbang dengan ancaman air tercemar sepanjang musim tengkujuh kerana ia boleh menyebabkan ikan yang diternak mati.

"Kualiti air terlalu keruh selain tercemar dengan pelbagai bahan buangan, ini boleh menjejaskan ternakan justeru saya dan pekerja sentiasa dalam keadaan berwaspada," katanya.

Sementara itu, pekerja, Sukri Hassan, 37, berkata, sejak tiga hari lalu, dia akan memantau kesemua sangkar ikan berkenaan 24 jam disebabkan bimbang paras air sungai naik secara mendadak.

"Jika hujan lebat berterusan sepanjang hari, saya rela tidak tidur kerana ingin memastikan sangkar ikan tidak mengalami sebarang masalah.

"Tiga hari lalu, kedudukan tali yang diikat pada sangkar adalah sama dengan paras tebing, namun pagi ini air sedikit surut menyebabkan kami terpaksa mengendurkan tali bagi memastikan sangkar tidak terapung sekali gus menyebabkan ikan terlepas," katanya.

Sukri Hassan mengheret sangkar ikan ke tebing selepas ia dihanyutkan arus deras awal. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Sukri Hassan mengheret sangkar ikan ke tebing selepas ia dihanyutkan arus deras awal. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X