Sabtu, 4 Disember 2021 | 12:32pm
Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi memantau pemberian suntikan dos penggalak kepada Orang Asli pada program pemberian dos penggalak di Pejabat JAKOA Muadzam Shah.- NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi memantau pemberian suntikan dos penggalak kepada Orang Asli pada program pemberian dos penggalak di Pejabat JAKOA Muadzam Shah.- NSTP/MOHD RAFI MAMAT

120 kumpulan pertama Orang Asli terima dos penggalak di Pahang

MUADZAM SHAH: Seramai 120 Orang Asli di daerah ini menjadi kumpulan pertama di Pahang menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata mereka terdiri daripada masyarakat setempat, termasuk golongan yang bertugas di barisan hadapan membantu jabatan itu untuk melaksanakan pelbagai program membabitkan Orang Asli.

Malah, katanya, mereka yang menerima suntikan, hari ini, datang secara sukarela bagi mendapatkan dos penggalak selepas lengkap vaksinasi sebelum ini.

"Di Pahang, seramai 54,000 Orang Asli layak menerima vaksin COVID-19 dan setakat ini, terdapat kira-kira 2,000 saja yang masih belum menerima suntikan itu.

"JAKOA akan terus berusaha membantu masyarakat Orang Asli di negeri ini mendapatkan dos penggalak yang diberi secara berperingkat," katanya pada program pemberian dos penggalak di Pejabat JAKOA Muadzam Shah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Razali Kassim, dan Pengerusi JAKOA Pahang Volunteer Team (JPVT), Zahar Tan.

Mengulas lanjut, Johari berkata, program hari ini menjadi perintis pemberian dos penggalak kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini, dan program sama akan diadakan di beberapa daerah lain selepas ini.

Katanya, JAKOA akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengadakan program secara berkumpulan di kawasan penempatan Orang Asli di Pahang seperti yang dilakukan ketika pemberian vaksin COVID-19 sebelum ini.

"Saya akan berusaha memastikan semua Orang Asli berumur 12 tahun ke atas menerima vaksin dan dos penggalak. JPVT turut membantu melancarkan setiap program anjuran JAKOA Pahang," katanya.

Berita Harian X