Jumaat, 3 Disember 2021 | 4:35pm
Pegawai KPDNHEP Johor menjalankan pemeriksaan menerusi Op Pasar bagi memantau kenaikan harga sayur di sekitar Johor Bahru. - Foto IHSAN KPDNHEP JOHOR
Pegawai KPDNHEP Johor menjalankan pemeriksaan menerusi Op Pasar bagi memantau kenaikan harga sayur di sekitar Johor Bahru. - Foto IHSAN KPDNHEP JOHOR

KPDNHEP Johor kesan peniaga sayur naikkan harga

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 35 notis kepada peniaga sayur-sayuran yang didapati menjual harga barangan pada harga lebih tinggi.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata notis dikeluarkan kepada 21 peruncit, 11 pemborong dan tiga pekebun atau peladang susulan pemeriksaan dijalankan sejak 20 November lalu hingga semalam.

Katanya, notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan khusus bagi jualan barangan seperti tomato, lobak, kubis bulat dan cili merah.

Beliau berkata, pemeriksaan kali ini menyasarkan peniaga sayur di peringkat pemborong dan pengeluar atau pekebun sayuran di sekitar Taman Ungku Tun Aminah dan Ulu Tiram, di sini.

"Ia berikutan ada aduan kenaikan harga sayur 50 hingga 100 peratus.

"Op Pasar bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran, selain memeriksa maklumat harga dan kos barangan di setiap rantaian perniagaan.

"Sejak Januari hingga kini, sebanyak 83 notis dikeluarkan kepada peniaga bagi siasatan lanjut untuk mengesan sekiranya wujud elemen pencatutan.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 7,603 premis diperiksa meliputi 5,954 peruncit, 1,198 pemborong dan 451 pengilang di seluruh negeri sejak Johor memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hairul Anuar berkata, peniaga yang disyaki mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Berita Harian X