Khamis, 2 Disember 2021 | 1:22pm
 Gunung Kinabalu khazanah negeri yang menarik tumpuan pelancong ke Sabah. (Foto hiasan)
Gunung Kinabalu khazanah negeri yang menarik tumpuan pelancong ke Sabah. (Foto hiasan)

Sabah komited majukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah komited memajukan Tapak Warisan Dunia Kinabalu sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia.

Pembantu Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata komitmen terbabit antara usaha pihaknya membina jati diri komuniti berteraskan budaya dan warisan negara.

Katanya, rakyat Sabah terutama penduduk di persekitaran Tapak Warisan Dunia Kinabalu perlu berbangga dengan kepelbagaian flora fauna, kebudayaan dan geologi yang terdapat di kawasan terbabit.

"Kerajaan negeri melalui kementerian berkenaan akan terus berusaha membangunkan infrastruktur berkaitan pelancongan dan juga kebudayaan komuniti serta perlindungan khazanah kita dalam memastikan semua ini dapat tumbuh dengan harmoni selaras dasar kerajaan.

"Dalam memastikan Tapak Warisan Dunia Kinabalu ini terus dijaga dengan baik, kerajaan negeri bersetuju menjadikan Kawasan Kinabalu Geopark sebagai Geopark Kebangsaan dan sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan" katanya selepas melancarkan Sambutan Hari Komuniti Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu 2021 secara dalam talian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, program geopark itu akan memberikan banyak peluang kepada komuniti terutama dalam meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pelancongan dan pengekalan budaya di daerah serta kawasan kampung terbabit.

Menerusi pengiktirafan itu, beliau yakin ia mampu menarik minat rakyat dan pelancong asing untuk mengenali Tapak Warisan Dunia Kinabalu serta Kinabalu Geopark dengan lebih dekat, seterusnya menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Sabah.

Joniston turut menggesa semua pihak termasuk penduduk di persekitaran Tapak Warisan Dunia Kinabalu, turut sama berganding bahu dengan pihak kerajaan memelihara khazanah negeri ini daripada dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X