Khamis, 25 November 2021 | 1:49pm
Penguat kuasa SPAN dan SAINS memeriksa penyambungan bekalan air secara tidak sah dalam operasi bersepadu di Rantau, semalam. - Foto ihsan SPAN
Penguat kuasa SPAN dan SAINS memeriksa penyambungan bekalan air secara tidak sah dalam operasi bersepadu di Rantau, semalam. - Foto ihsan SPAN

Sambung air secara haram, premis mengecat jentera diserbu

PORT DICKSON: Sebuah premis mengecat jentera berat dikenakan tindakan pemotongan bekalan air selepas didapati melakukan sambungan secara tidak sah di Rantau, di sini, semalam.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Fazil Ismail, berkata operasi dijalankan itu turut mendapat kerjasama Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

"Operasi di sekitar Negeri Sembilan ini menyasar premis yang dikenal pasti melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah, iaitu dengan membuat sambungan tanpa melalui meter milik SAINS.

"Tindakan pemotongan bekalan air ke atas pusat mengecat terbabit dilakukan serta-merta dan pemilik premis akan dipanggil untuk memberi keterangan serta berdepan tindakan perundangan," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Notis pemberitahuan kesalahan juga dikeluarkan kepada pemilik premis yang terbabit," katanya.

Mohd Fazil berkata, pihaknya akan melakukan operasi bersama operator bekalan air dari semasa ke semasa.

"Sebarang aduan atau maklumat berhubung pencemaran boleh hubungi di talian 013-3885000 atau e-mel ke aduan@span.gov.my ," katanya.

Berita Harian X