Rabu, 24 November 2021 | 4:36pm
Azman (beret biru) bersama Pengarah KPDNHEP Negeri Perlis, Norazah Jaapar bertanyakan mengenai harga ayam mentah yang dijual oleh peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar. - Foto Aizat Sharif
Azman (beret biru) bersama Pengarah KPDNHEP Negeri Perlis, Norazah Jaapar bertanyakan mengenai harga ayam mentah yang dijual oleh peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar. - Foto Aizat Sharif

Harga sayur di Perlis stabil

KANGAR: Harga sayur-sayuran di Perlis masih stabil dan tiada kenaikan mendadak walaupun cuaca tidak menentu sekarang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar, berkata kebanyakan bekalan sayur-sayuran di negeri itu diperolehi dari Cameron Highlands dan Thailand.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan harian, bekalan sayur-sayuran di Perlis masih stabil dan ada penurunan harga bagi kubis bunga hijau semalam.

"Harga sayur-sayuran lain seperti taugeh, tomato dan cili hijau juga stabil.

"Hari ini, kita memeriksa 29 premis membabitkan pasar awam sebanyak 20 gerai, pasar raya (lima) dan kedai runcit (empat)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, faktor cuaca tidak menentu dan hujan serta kerosakan tanaman di Cameron Highlands dikatakan sebagai penyebab bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan hingga menyumbang kepada kenaikan harga.

Bekalan sayur import turut berkurangan kerana negara pengeluar mengalami musim sejuk melampau.

Berita Harian X