Rabu, 24 November 2021 | 10:56am
Pelajar yang ingin berhenti sekolah diberi kaunseling dahulu. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD
Pelajar yang ingin berhenti sekolah diberi kaunseling dahulu. - Foto hiasan NSTP/AIZUDDIN SAAD

Lebih 500 pelajar berhenti di Johor

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor menafikan seramai 7,301 pelajar sekolah di negeri ini berhenti sekolah, di antara 2019 hingga tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata angka berkenaan tidak tepat berikutan data Jabatan Pendidikan Johor merekodkan tidak lebih 600 pelajar berhenti sekolah di negeri ini, sebelum wabak COVID-19 menular.

Katanya, jumlah murid dan pelajar negeri ini yang berhenti sekolah ketika wabak COVID-19 menular sejak tahun lalu, jauh berkurangan kepada hanya dua angka.

"Dakwaan seramai 7,301 murid dan pelajar sekolah di negeri ini berhenti sekolah di antara 2019 hingga tahun ini tidak tepat.

"Menurut data Jabatan Pendidikan Johor hanya 500 hingga 600 murid dan pelajar sekolah berhenti sekolah sebelum wabak COVID-19, disebabkan gejala sosial dan masalah keluarga.

"Kementerian Pendidikan mempunyai dasar khas sebelum pelajar berhenti sekolah, iaitu diberi kaunseling dahulu. Keduanya diberi amaran jika masih berdegil. Jika ia tidak berkesan, barulah pelajar akan diberhentikan.

"Di Johor, kita menggunakan pendekatan diplomasi serta tidak mengambil tindakan keras dalam menangani isu pelajar mahu pun guru yang enggan divaksin. Kita tidak mahu mengambil tindakan menghukum, sebaliknya menggunakan kaedah memujuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chew Chong Sin (DAP-Mengkibol) pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Chong Sin ingin tahu jumlah murid dan pelajar negeri ini yang berhenti sekolah di antara 2019 hingga tahun ini, dan sebab mereka berhenti sekolah.

Dalam pada itu, Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, Jabatan Pendidikan Johor menyediakan portal Gerbang Pembelajaran Digital, kepada guru dan pelajar di negeri ini.

Katanya, ia untuk membantu murid dan guru, mengejar semula silibus pembelajaran yang tertinggal akibat penutupan sekolah akibat COVID-19.

"Sekolah akan membuat simulasi ujian mendengar dan ujian bertutur bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta Ujian Amali Sains untuk membantu murid memperolehi kefahaman dan kemahiran yang sepatutnya bagi mengatasi masalah ketinggalan silibus pembelajaran.

"Jabatan Pendidikan Johor melalui Sektor Pembelajaran membimbing Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah untuk melaksanakan 'Catch Up Plan' berdasarkan kemahiran asas kurikulum pelajar Tingkatan 5 mulai awal tahun 2022, supaya silibus pembelajaran yang tertinggal dapat diselesaikan," katanya.

Berita Harian X