Selasa, 23 November 2021 | 8:35am
Maklumat palsu mengenai penganjuran Pesta Pulau Pinang 2021 di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, yang tular di media sosial.- Foto NSTP/Media Sosial
Maklumat palsu mengenai penganjuran Pesta Pulau Pinang 2021 di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, yang tular di media sosial.- Foto NSTP/Media Sosial

Kerajaan negeri nafi anjur Pesta Pulau Pinang 2021

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan penganjuran Pesta Pulau Pinang 2021 yang didakwa diadakan pada 1 hingga 31 Disember depan.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Dr Mohamad Farazi Johari, berkata ia susulan terdapat berita palsu yang tersebar di media sosial mengenai penganjurannya.

Katanya, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya dan menyebarkan berita palsu yang tular di media sosial.

"Kerajaan negeri menafikan berita palsu itu dan menegaskan bahawa tiada penganjuran Pesta Pulau Pinang atau pada bila-bila masa dalam tahun 2021.

"Diharap orang ramai mendapatkan kesahihan daripada sumber yang betul berhubung isu berkenaan," katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.

Mohamad Farazi berkata, sebarang maklumat berkaitan penganjuran pesta berkenaan akan dikeluarkan secara rasmi oleh pihak kerajaan negeri.

Pesta Pulau Pinang yang diadakan setiap tahun di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini, dibatalkan pada tahun lalu berikutan keadaan semasa pandemik COVID-19.

Pesta Pulau Pinang yang kini menjangkau usia 55 tahun adalah ikon pelancongan Pulau Mutiara serta menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Berita Harian X