Ahad, 21 November 2021 | 3:00pm
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan anugerah pekerja contoh tahunan kepada Penolong Pemelihara Hutan, Zaidi Osman pada Majlis Pelancaran Mossy Forest @ PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zentih, semalam. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan anugerah pekerja contoh tahunan kepada Penolong Pemelihara Hutan, Zaidi Osman pada Majlis Pelancaran Mossy Forest @ PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zentih, semalam. - NSTP/Mohd Rafi Mamat

Pahang tambah 696.2 hektar hutan simpan kekal

CAMERON HIGHLANDS: Kerajaan negeri menambah seluas 696.2 hektar untuk menjadikan keseluruhan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Pahang kini berjumlah 1.6 juta hektar, sejak 2018.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata jumlah itu adalah 57 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan yang terdapat di negeri ini.

Beliau berkata, sejak diamanahkan menjadi Menteri Besar Pahang pada 15 Mei 2018, kerajaan negeri mewartakan seluas 16,020 hektar HSK bermula seluas 696.2 hektar, diikuti 6,469.33 hektar pada 2019.

Katanya, tahun lalu seluas 1,213.03 hektar diwartakan sebagai HSK manakala tahun ini, 7,641.44 hektar.

"Kerajaan negeri juga menambah keluasan kawasan Hutan Tadahan Air, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini seluas 343,503.35 hektar yang bersamaan 10 peratus daripada keluasan tanah Pahang seluas 3.6 juta hektar atau 21 peratus keluasan kawasan HSK.

"Keputusan kerajaan negeri menambah meluaskan HSK sebagai menjunjung titah Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mossy Forest @ PahangGo dan Penyampaian Sijil Penghargaan Ops Pamah di Hotel Zentih, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Wan Rosdy berkata, untuk menjaga alam sekitar dan lembangan sungai khususnya di Cameron Highlands kerajaan negeri juga mewartakan seluas 7.085 hektar di Kampung Raja, Mukim Ulu Telom sebagai Hutan Simpan Sungai Ikan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mewartakan empat lagi kawasan di Mukim Ulu Telom seluas 337.625 hektar sebagai hutan simpan.

"Empat kawasan berkenaan ialah Hutan Simpan Sungai Terla seluas 43.715 hektar, Hutan Simpan Sungai Telom (90.513 hektar), Hutan Simpan Sungai Lemoi (50.165 hektar) dan Hutan Simpan Sungai Bertam (153.232 hektar).

"Keluasan keseluruhan cadangan pewartaan hutan simpan baharu di Cameron Highlands ialah 344.71 hektar," katanya.

Berita Harian X