Ahad, 21 November 2021 | 12:31pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid ketika lawatan di kawasan Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu di Kampung Peradong, Manir.- Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid ketika lawatan di kawasan Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu di Kampung Peradong, Manir.- Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Harga baja, racun naik 100 peratus

KUALA TERENGGANU: Kenaikan sehingga 100 peratus harga baja dan racun sejak akhir-akhir ini memberi tamparan hebat kepada petani di negeri ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya sudah sedia maklum akan kenaikan melampau harga baja dan racun tanaman di pasaran.

"Kami sudah mengadakan mesyuarat dengan beberapa pihak berhubung kenaikan harga baja dan racun susulan rungutan petani yang diterima.

"Antara punca kenaikan harga dua bahan pertanian yang dikenal pasti itu ialah kerana kos pengangkutan yang meningkat sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga baja dan racun.

"Faktor kilang pengeluaran baja dan racun yang baru bermula selepas diberhentikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjadi punca kenaikan mendadak harga baja dan racun," katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Timbalan Menteri KPDNHEP di kawasan Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu (MMT) di Kampung Peradong, Manir, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zulkefli Amin dan Pengerusi Koperasi Pengusaha Melon Manis Terengganu Berhad (KOPMET), Tengku Norulhuda Tengku Muhammad.

Rosol berkata, pihaknya akan mengenal pasti langkah terbaik bagi menyelesaikan isu kenaikan harga baja dan racun yang tidak terkawal di pasaran.

"Isu kenaikan harga baja dan racun dalam perhatian KPDNHEP sekarang dan pihak kami akan cuba mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu.

"Cuma kami berharap petani bersabar sementara isu kenaikan harga dan racun itu diselesaikan segera," katanya.

Berita Harian X