Sabtu, 20 November 2021 | 4:24pm
Kolam ternakan ikan air tawar yang pecah susulan hujan lebat di Kuala Klawang, malam tadi. - NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Kolam ternakan ikan air tawar yang pecah susulan hujan lebat di Kuala Klawang, malam tadi. - NSTP/ABNOR HAMIZAM ABD MANAP

Kolam pecah, penternak rugi RM155,000

JELEBU: Tiga penternak ikan air tawar kerugian RM155,000 selepas kolam ternakan pecah berikutan hujan lebat selama lima jam, malam tadi.

Ketua Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh, berkata hujan bermula jam 7 malam hingga tengah malam itu menyebabkan paras Sungai Triang di Jeram Toi hingga Purun melimpah ke kawasan rendah.

"Penternak membuat aduan kolam ternakan pecah, menyebabkan banyak ikan keluar. Kita ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku kerosakan pada kolam ternakan berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata, seorang penternak di Mukim Ulu Klawang mendakwa kerugian RM75,000 selepas 10,000 ekor ikan tilapia, 18,000 ekor baung, 1,000 ekor jelawat dan 1,000 ekor tongsan dari tiga kolam terlepas keluar.

Katanya, seorang lagi penternak turut menanggung kerugian RM75,000 selepas lima kolam pecah, menyebabkan 15,000 ekor tilapia gred A terlepas keluar.

"Seorang penternak wanita turut kerugian RM5,000 selepas 1,000 ekor tilapia dan 3,000 ikan puyu terlepas keluar dari tiga kolam yang pecah.

"Kerugian sebenar belum dapat dipastikan dan semua penternak dipercayai sudah membuat laporan polis berkaitan kejadian," katanya.

Mohd Azhar berkata, pejabat perikanan daerah akan membuat pemantauan bagi membantu penternak membaik pulih kolam ternakan mereka.

Berita Harian X