Khamis, 14 Oktober 2021 | 8:35am
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin menampal pelekat pantulan cahaya pada motosikal P-hailing pada Program Advokasi JPJ Pahang bersama penunggang perkhidmatan P-hailing di Taman Kerang- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin menampal pelekat pantulan cahaya pada motosikal P-hailing pada Program Advokasi JPJ Pahang bersama penunggang perkhidmatan P-hailing di Taman Kerang- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Ops Merah: 115 kesalahan babitkan penunggang p-hailing

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengesan 115 kesalahan dilakukan penunggang perkhidmatan p-hailing dalam Operasi Khas Ops Merah selama lima hari berakhir, kelmarin.

Kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan kes tertinggi iaitu 26 kes, diikuti kesalahan nombor pendaftaran sebanyak 22 kes dan 19 kes melanggar lampu isyarat merah.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin, berkata kesalahan lain dilakukan penunggang perkhidmatan P-hailing ialah menggunakan motosikal tanpa cermin sisi (9 kes), tidak menampal lesen P (8 kes), cukai jalan tamat tempoh (4 kes), tiada insurans (4 kes), melanggar isyarat lalu lintas sehala (4 kes) dan lain-lain kes (19 kes).

Menurutnya, daerah yang dikesan mencatatkan kesalahan tertinggi membabitkan penunggang p-hailing ialah Temerloh dengan 39 kes diikuti Kuantan sebanyak 26 kes.

"Jumlah kes keseluruhan yang direkodkan dalam ops berkenaan adalah sebanyak 839 kes.

"Kesalahan tiada lesen memandu, nombor pendaftaran dan langgar lampu isyarat merah merekodkan kes tertinggi," katanya pada Program Advokasi JPJ Pahang bersama penunggang perkhidmatan p-hailing di Taman Kerang di sini, semalam.

Kamarul Iskandar berkata, operasi khas Ops Merah dilaksanakan bertujuan memantau tahap pematuhan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) fokus kepada penunggang perkhidmatan p-hailing di negeri ini.

Berita Harian X