Isnin, 8 March 2021 | 4:58pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

12 titik panas di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti 12 kawasan titik panas di negeri itu yang berisiko mudah terbakar akibat cuaca panas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Md Hilman Abd Rashid, berkata daripada jumlah itu,

enam lokasi dikesan di Dungun iaitu di Kampung Batu 7; Kampung Bahagia; Kampung Tok Kah, Jalan Jerangau; Kampung Mahsuri; Kampung Pangkalan Jering dan Kampung Kuala Abang @ Rhu Batil.

Katanya, empat kawasan titik panas di daerah Kemaman adalah di Jalan Kebun Kelapa Pandan, Jalan Teruna di Kampung Beris Meraga, Lorong Kacang Panjang dan Kawasan Perindustrian Kertih.

"Dua lagi kawasan panas yang dikenal pasti berisiko adalah di Ladang Tabung Haji Lembah Bidong, Setiu dan di Kampung Kerandang, Tembila, Besut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Hilman mengulas kawasan titik panas yang dikenal pasti pihaknya berisiko mudah terbakar serta mengakibatkan pembakaran akibat cuaca panas ketika ini.

Justeru, Md Hilman meminta kerjasama orang ramai terutama membabitkan 12 lokasi berkenaan supaya bertanggungjawab tidak melakukan pembakaran secara terbuka.

"Pengguna jalan raya terutama perokok yang melalui kawasan itu diminta tidak mencampakkan puntung rokok yang masih mempunyai bara di bahu jalan kerana kebanyakan rumput di kawasan itu kering dan mudah terbakar," katanya.

Mengulas mengenai jumlah kebakaran, Md Hilman berkata, pihaknya menerima laporan sebanyak 168 kes kebakaran membabitkan hutan, kebun dan belukar di seluruh negeri sehingga semalam.

Berita Harian X