Sabtu, 27 Februari 2021 | 11:59am
Fuad Alias (kiri) beramah mesra dengan Abdul Aziz dan isterinya selepas menyerahkan cek bantuan PERKESO bagi pengurusan mayat di Taman
Fuad Alias (kiri) beramah mesra dengan Abdul Aziz dan isterinya selepas menyerahkan cek bantuan PERKESO bagi pengurusan mayat di Taman

12,414 bekerja sendiri di Negeri Sembilan sertai SKSPS

SEREMBAN: Seramai 12,414 individu bekerja sendiri daripada 19 sektor tidak formal di negeri ini sudah mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), sejak dilancarkan awal tahun lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri, Fuad Alias, berkata bagaimanapun masih ramai yang bekerja sendiri belum berdaftar menerusi skim berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya meminta individu yang bekerja sendiri supaya mendaftar dan mencarum dengan SKSPS untuk perlindungan mereka dan keluarga, terutama jika berlaku musibah ketika bekerja.

"Kita tidak mahu kes berulang yang mana waris penghantar makanan yang meninggal tidak mendapat sebarang pampasan kerana penunggang berkenaan tidak mencarum atau tidak memperbaharui caruman SKSPS.

"Sebagai contoh, pertengahan bulan ini terdapat satu kemalangan membabitkan penghantar makanan foodpanda di Nilai yang mana waris tidak layak menerima apa-apa faedah dari PERKESO kerana tidak berdaftar dan mencarum dengan SKSPS," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan cek bagi faedah pengurusan mayat kepada Abdul Aziz Abdul Kadir, 64, di Taman Panchor Jaya, Paroi, di sini, petang semalam.

Cek bernilai RM2,000 itu adalah bagi faedah atas kematian anak Abdul Aziz, Muhammad Azman, 29, yang bekerja sebagai penghantar makanan foodpanda dan maut dalam kemalangan di Seremban, pada 17 Februari lalu.

Fuad berkata, kerajaan memperluaskan SKSPS kepada 19 sektor tidak formal, antaranya membabitkan perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan, pertanian, pengambilan hasil hutan, perikanan, penyediaan dan penjualan makanan, aktiviti pengilangan produk, kerja pembinaan dan menjaja atau berniaga.

"Inisiatif ini dijangka memanfaatkan kira-kira 2.8 juta orang bekerja sendiri (OBS) yang mempunyai taraf warganegara atau pemastautin tetap tanpa mengira had umur.

"Setakat ini, hanya 641 individu daripada sektor pengangkutan barangan dan makanan di negeri ini sudah mendaftar dalam SKSPS," katanya.

Berita Harian X