Selasa, 10 November 2020 | 9:22pm
Sebahagian 250 liter diesel yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi di Jeti Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Perlis. - Foto Ihsan Pasukan Polis Marin
Sebahagian 250 liter diesel yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi di Jeti Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Perlis. - Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

Diesel disorok dalam tong ikan

LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 250 liter minyak diesel cuba diseludup ke negara jiran melalui Jeti Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis, hari ini.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 1 Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid, berkata rampasan pada jam 11.30 pagi itu dibuat hasil risikan dan intipan Unit Rondaan Marin (URM).

Katanya, sindiket terbabit dipercayai bertindak menyembunyikan diesel dalam tong ikan sebelum dibawa menaiki bot bagi dijual di negara jiran.

"Pemeriksaan mengesan 250 liter diesel diisi dalam 10 tong minyak di tempat meletak tong ikan berdekatan jeti, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Anggota PPM menunggu di kawasan jeti beberapa jam, namun tiada individu tampil menuntut tong ikan berkenaan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Rohizan berkata, diesel yang dirampas itu kemudian dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tiada tangkapan dibuat.

Berita Harian X