Isnin, 9 November 2020 | 1:50pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, pada persidangan DUN Selangor, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, pada persidangan DUN Selangor, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR

269 hektar hutan simpan kekal Selangor terbakar

SHAH ALAM: Sejumlah 269 hektar hutan simpan kekal di Selangor terbakar akibat pelbagai faktor sepanjang tempoh 2018 hingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata kebakaran pada tahun ini membabitkan keluasan 160 hektar meliputi beberapa kompartmen Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.

"Tahun lalu, 106 hektar terbakar membabitkan 95 hektar di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Hutan Simpan Raja Musa, Hulu Selangor (sembilan), dan Hutan Simpan Sungai Karang, Kuala Selangor (dua).

"Pada 2018, masing-masing 1.5 hektar di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Hutan Simpan Sungai Karang terbakar," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Elizabeth Wong Keat Ping (PH - Bukit Lanjan) mengenai kebakaran hutan simpan di Selangor.

Menjelaskan lanjut, Loy Sian berkata, kebakaran dalam tempoh tiga tahun itu membabitkan perbezaan keluasan yang ketara berikutan pelbagai faktor.

Antaranya, beliau berkata, cuaca panas dan kering yang panjang akibat fenomena El Nino serta pengurusan hidrologi yang kurang cekap.

Selain itu, katanya, aktiviti pembersihan tanah bagi tujuan pertanian menerusi kaedah pembakaran terbuka yang menyebabkan risiko api merebak ke kawasan hutan simpan kekal.

Sementara itu, Loy Sian memaklumkan, kerajaan negeri menubuhkan Badan Pengurusan Geopark Gombak dan Hulu Langat sebagai usaha mendapatkan pengiktirafan Tapak Geopark Kebangsaan.

Beliau menjelaskan, jawatankuasa itu berperanan mengumpulkan maklumat geopark, menyediakan data, melakukan aktiviti promosi serta mengenal pasti agensi berkaitan untuk bekerjasama.

"Sebanyak 20 kawasan di dua daerah itu dicadangkan bagi tujuan berkenaan.

"Ia termasuk Permatang Kuarza Gombak Selangor, Tasik Biru Kundang, Batu Kapur Batu Caves, Bukit Tabur dan bekas lombong Batu Arang," katanya ketika menjawab soalan Saari Sungib (PH - Hulu Kelang).

Berita Harian X