Sabtu, 31 Oktober 2020 | 9:59pm
Peralatan kesihatan tiba dengan pesawat pengangkut TUDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu awal pagi tadi. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ
Peralatan kesihatan tiba dengan pesawat pengangkut TUDM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu awal pagi tadi. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ

Kes Kluster Rumah Merah naik berganda

KOTA KINABALU: Jumlah kes Kluster Rumah Merah naik kepada sebanyak 111 kes pada hari ini, berpunca daripada saringan di dua blok pusat tahanan sementara (PTS) Menggatal.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan medianya malam ini, berkata bilangan kes dijangka terus meningkat beberapa hari lagi.

"Ini disebabkan PTS berkenaan mempunyai 10 blok dengan jumlah keseluruhan 1,706 tahanan," katanya.

Semalam Kluster Rumah Merah yang membabitkan penularan di PTS Menggatal, dekat sini, merekodkan 57 kes.

Dalam perkembangan berkaitan, Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, seramai 128 jururawat kontrak sudah melapor diri ke Jabatan Kesihatan Sabah dalam usaha membantu kerajaan negeri membendung penularan wabak COVID-19.

"Mereka menjalani taklimat sebelum mula bertugas. Sembilan pegawai perubatan dari Jabatan Kesihatan Kelantan dan Terengganu juga tiba di Sabah pada hari ini.

"Dewan Bedah Hospital Semporna juga sudah dibuka semula sejak semalam (30 Oktober) dan telah melakukan pembedahan 'Lower Segment Caesarean Section and Bilateral Tubal Ligation' oleh pakar perubatan obstetrik dan ginekologi dari Hospital Tawau.

"Sebanyak dua kenderaan baharu juga ditempatkan di Hospital Semporna bagi meningkatkan kekuatan logistik dalam menangani wabak COVID-19," katanya.

Masidi berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Sabah, kini mempunyai 7,912 katil berikutan penambahan sebanyak 20 katil di Dewan Badminton Kompleks Sukan Keningau, hari ini.

Katanya, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah hari ini sebanyak 529 kes.

"Tiada kematian dicatatkan pada hari ini, manakala jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 15,048 kes.

"Pada hari ini, seramai 3,393 pesakit menerima rawatan iaitu 654 orang di hospital dan 2,739 orang di PKRC.

"Bilangan pesakit COVID-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) ialah 71 orang, manakala 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X