Jumaat, 30 Oktober 2020 | 10:46am
Tukun konkrit diletakkan di perairan Pulau Besar, Umbai untuk membantu pembiakan ikan dan hidupan marin. - Foto NSTP/Hassan Omar
Tukun konkrit diletakkan di perairan Pulau Besar, Umbai untuk membantu pembiakan ikan dan hidupan marin. - Foto NSTP/Hassan Omar

15 tukun konkrit biak ikan

MELAKA: Sebanyak 15 tukun konkrit bernilai RM300,000 ditempatkan di perairan Pulau Besar, Umbai dekat sini hari ini bagi membantu pembiakan ikan dan hidupan marin.

Langkah itu sejajar fungsi Pulau Besar yang diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 yang mencegah aktiviti menangkap hidupan marin.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon, berkata ia penting bagi membantu menggalakkan pembiakan ikan dan sumber marin yang jika tidak dipulihara, akan pupus akibat pelbagai faktor.

"Tukun konkrit adalah satu daripada kaedah menambah tempat pembiakan ikan kerana ia berfungsi sebagai perumah untuk ikan dan sumber marin membiak serta berkumpul.

"Sumber perikanan itu akan berhijrah ke perairan lain dan ia mampu meningkatkan jumlah tangkapan ikan nelayan di perairan yang dibenarkan," katanya di sini.

Beliau berkata, Pulau Besar dan Pulau Undan, kira-kira dua batu nautika dari Umbai dicadangkan untuk dinaik taraf sebagai Taman Laut berdasarkan kekayaan terumbu karang dan sumber perikanan.

Katanya, apabila diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti menangkap ikan dan mengambil, memindahkan serta memusnahkan batu karang di perairan satu batu nautika kedua-dua pulau berkenaan dilarang sama sekali.

Gugusan Pulau Besar ada sembilan pulau, iaitu Pulau Besar, Hantu, Serimbun, Lalang, Dodol, Nangka, Hanyut, Burung dan Undan tetapi hanya Pulau Besar diwartakan mengikut peraturan itu dan sesiapa menangkap ikan di perairan satu batu nautika boleh didakwa mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985.

Mohd Fauzi berkata, sebelum larangan dikuatkuasakan, aktiviti menangkap ikan secara berlebihan di perairan Pulau Besar menyebabkan kerosakan batu karang, selain menghalang pertumbuhan karang secara semula jadi.

Berdasarkan kajian Jabatan Perikanan sejak pertengahan 2018, terdapat 81 spesies karang keras di perairan Melaka, khususnya di gugusan pulau itu dengan lima daripadanya berisiko mengalami kepupusan.

Berita Harian X