Isnin, 26 Oktober 2020 | 10:27pm
Mohd Sharif Musa, 29, (kiri) adik kepada Mohamad Fauzi, yang maut akibat renjatan eletrik pada tiang besi khemah tempatnya berkerja di Persiaran Lembah, Kuala Kangsar, dalam kejadian petang semalam. Turut sama ibu mereka, Intan Sufiah Halim. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Mohd Sharif Musa, 29, (kiri) adik kepada Mohamad Fauzi, yang maut akibat renjatan eletrik pada tiang besi khemah tempatnya berkerja di Persiaran Lembah, Kuala Kangsar, dalam kejadian petang semalam. Turut sama ibu mereka, Intan Sufiah Halim. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Mimpi arwah abang menangis

PADANG RENGAS: "Saya bermimpi arwah sedang menangis," kata Mohd Sharif Musa, adik kepada pembantu gerai makan yang maut akibat renjatan eletrik pada tiang besi khemah di Persiaran Lembah, Kuala Kangsar, dalam kejadian petang semalam.

Beliau berkata, arwah abangnya itu, Mohamad Fauzi Musa, 30, turut berkelakuan pelik apabila enggan diajak bersembang selain mudah tersinggung pada malam sebelum kejadian itu biarpun hubungan antara mereka berdua sememangnya rapat sejak kecil.

Mohd Sharif, 29, berkata, beberapa jam sebelum kejadian dia yang turut bekerja di gerai berkenaan disuruh oleh majikan mereka untuk pulang berehat di rumah kerana sakit kepala disebabkan mengalami migrain.

Sebaik tiba di rumah, katanya, dia tertidur kira-kira jam 3 petang dan bermimpi mengenai arwah.

"Apabila terjaga, saya mendapati isteri saya sedang berbual di telefon dan kelihatan panik apabila diberitahu oleh adik serta anak tiri saya yang turut berkerja di situ bahawa arwah (abang) pengsan sewaktu di gerai berkenaan.

"Sewaktu itu abang (arwah) masih bernyawa. Majikan kemudiannya menelefon dan menyuruh saya terus ke hospital untuk melihat keadaan abang kerana pada masa itu saya sangka hanya pengsan biasa. Namun sebaik kami sampai, petugas perubatan mengatakan abang sudah meninggal dunia.

"Cuma kelakuan arwah pada malam sebelum kejadian agak menghairankan. Tidak sangka itu petanda ajalnya," katanya ketika ditemui di kediaman arwah bersama ibunya, Intan Sufiah Halim, 53, dekat Kampung Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun reda dan menyifatkan arwah sememangnya rapat dengannya sejak kecil dan sehingga kini mereka berdua sering meluangkan masa bersama untuk berkongsi cerita, bermain permainan video, dan sebagainya.

"Walaupun saya sudah berkahwin dan tinggal di rumah berasingan, saya sering menjenguk arwah yang tinggal bersama adik, kakak, serta abang ipar di sini memandangkan ibu kami juga menetap bersama mereka di rumah ini.

"Kami adik-beradik sememangnya berpakat untuk menyara ibu yang tidak bekerja susulan menghidap darah tinggi, kencing manis, serta kerosakan buah pinggang dan arwah sebagai anak sulung banyak membantu menjaga ibu," katanya.

Dalam kejadian 4 petang itu, Mohamad Fauzi rebah secara tiba-tiba dengan tangannya dalam keadaan sedang berpaut pada tiang besi khemah gerai. Mangsa meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar dengan ambulans.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata hasil temubual dengan rakan sekerja dan pelanggan di gerai terbabit mendapati, mangsa jatuh tertiarap tiba-tba di lantai bahagian khemah sejurus menghantar pesanan.

Beliau berkata, ketika kejadian hujan lebat selain tubuh dan pakaian mangsa dalam keadaan basah.

"Renjatan disyaki berpunca dari aliran eletrik pada tiang khemah itu, yang mana khemah berkenaan bersambung dengan bangunan gerai. Sejurus itu mereka cuba membantu, namun mendapati masih terdapat cas elektrik pada badan mangsa.

"Bedah siasat mendapati, punca kematian adalah serangan jantung disebabkan renjatan elektrik (Acute Myocardial Infarction due to Electrocution)," katanya.

Berita Harian X