Selasa, 29 September 2020 | 3:04pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Jangan nyah warta Hutan Simpan Kekal Kuala Langat

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor diminta mengekalkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara kerana kawasan itu mempunyai kepentingan dalam pemuliharaan flora dan fauna di Selangor.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail, berkata isu penyahwartaan hutan tidak perlu dibangkitkan dalam pembangunan kerana ia membabitkan ekosistem sejagat yang perlu dipelihara oleh semua pihak.

"MNS kekal dengan pendirian hutan simpan kekal itu perlu dijaga dan dilindungi malah dipelihara demi kepentingan pemuliharaan hidupan liar yang ada, tumbuhan yang sensitif serta perkhidmatan ekosistem yang boleh diberikan oleh hutan berkenaan.

"Di situ juga terdapat penduduk Orang Asli yang yang perlu dijaga kebajikan mereka," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, hari ini kerajaan Selangor melakukan sesi pendengaran awam bagi cadangan pemansuhan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat membabitkan keluasan sekitar 1,971 hektar, namun ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain serta ahli politik di kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

"Kerajaan negeri Selangor mesti membuat kajian yang teliti sebelum membuat keputusan nyah warta kawasan berkenaan dan seluruh hutan simpan di Selangor, terutama kawasan sensitif alam sekitar kelas satu kerana jumlah kawasan hutan simpan kekal Selangor semakin mengecil malah ia bercanggah dengan dasar kerajaan.

"Sebagai sebuah negeri yang lebih maju daripada negeri lain, Selangor patut menunjukkan contoh terbaik dalam pemuliharaan hutan simpan," katanya.

BH pada Februari lalu melaporkan, kerajaan Selangor menjelaskan keputusan untuk mengeluarkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih di peringkat mendengar pandangan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, khususnya rakyat, masyarakat Orang Asli dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung cadangan itu.

Malah Amirudin berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak akan membuat keputusan berkenaan isu itu sebelum meneliti setiap pandangan daripada rakyat serta memperhalusi laporan teknikal merangkumi analisis kos faedah berkait kesan cadangan berkenaan.

Berita Harian X