Selasa, 29 September 2020 | 2:44pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tolak nyahwarta Hutan Simpan Kekal Kuala Langat

KUALA LUMPUR: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mengulangi pendirian terhadap cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara berikutan kawasan itu mempunyai kepentingan dalam pemuliharaan flora dan fauna di Selangor.

Presiden MNS, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, berkata isu penyahwartaan hutan itu tidak perlu dibangkitkan dalam pembangunan kerana ia membabitkan ekosistem sejagat yang perlu dipelihara oleh semua pihak.

"MNS kekal dengan pendirian persatuan yang hutan simpan kekal itu perlu dijaga dan dilindungi malah dipelihara demi kepentingan pemuliharaan hidupan liar yang ada, tumbuhan yang sensitif serta perkhidmatan ekosistem yang boleh diberikan oleh hutan berkenaan.

"Di situ juga terdapat penduduk Orang Asli yang perlu dijaga kebajikan mereka," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Selangor hari ini melakukan sesi pendengaran awam atau town hall bagi cadangan pemansuhan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat membabitkan sekitar 1,971 hektar (2,400 ekar), namun ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain serta ahli politik di kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

"Kerajaan negeri Selangor perlu membuat kajian teliti sebelum membuat keputusan nyahwarta kawasan berkenaan dan seluruh hutan simpan di Selangor, terutama kawasan sensitif alam sekitar kelas satu kerana jumlah kawasan hutan simpan kekal Selangor semakin mengecil malah ia bercanggah dengan polisi kerajaan.

"Sebagai sebuah negeri yang lebih maju daripada negeri lain, Selangor patut menunjukkan contoh terbaik dalam pemuliharaan hutan simpan," katanya.

BH pada Februari lalu melaporkan, kerajaan Selangor menjelaskan keputusan untuk mengeluarkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih di peringkat mendengar pandangan awam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, khususnya rakyat, masyarakat Orang Asli dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung cadangan itu.

Malah Amirudin berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak akan membuat keputusan berkenaan isu itu sebelum meneliti setiap pandangan daripada rakyat serta memperhalusi laporan teknikal merangkumi analisis kos faedah berkait kesan cadangan berkenaan.

Berita Harian X