Khamis, 3 September 2020 | 5:23pm
Tajuddin diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias (kanan) selepas majlis di Stesen LRT Seri Rampai, hari ini.- Foto BERNAMA
Tajuddin diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias (kanan) selepas majlis di Stesen LRT Seri Rampai, hari ini.- Foto BERNAMA

Bas perantara LRT berwajah baharu

KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendalian operasi perkhidmatan bas Rapid KL hari ini, menampilkan wajah baharu bas perantara LRT, bagi menghubungkan penumpang yang menggunakan rel dengan stesen LRT secara efektif.

Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata penampilan wajah baharu itu juga bertujuan membolehkan pengguna membezakan bas Rapid KL biasa dan bas perantara LRT.

Menurutnya inisiatif membawa penampilan baharu ini susulan kejayaan bas perantara MRT yang mempunyai jumlah purata penumpang harian bas seramai 1.3 juta orang sebulan.

"Justeru, Rapid Bus berharap jumlah purata penumpang harian bas perantara LRT dapat ditingkatkan daripada 963,000 orang sebulan," katanya ketika berucap di majlis pelancaran wajah baharu bas itu di stesen LRT Sri Rampai, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi projek perintis, ketika ini ia membabitkan 33 bas yang akan beroperasi di sepanjang 10 laluan yang menghubungkan pengguna ke stesen LRT Gombak, Taman Melati, Sri Rampai, Wangsa Maju, Setiawangsa dan Dato Karamat.

"Maklumat mengenai laluan bas perantara ini boleh didapati di media sosial, aplikasi Google Maps dan Moovit.

Masa bas beroperasi ke destinasi seperti UIAM Gombak, Hab Wira Damai, Taman Melewar, Danau Kota, Taman Melawati , UKAY Perdana, Jalan Gentinh Klang PV16, Seksyen 10 Wangsa Maju, AU3, Jentayu, Keramat dan Desa Pandan dari pukul 5.30 pagi hingga 11.30 malam dengan kekerapan perkhidmatan selama 45 minit. – BERNAMA

Berita Harian X