Rabu, 19 Ogos 2020 | 10:27pm
Ahli panel forum ‘Rukun Negara: Teras Perpaduan Kaum Dalam Menghayati Kemerdekaan’ (dari kiri) Atiqurrahman Rosdi selaku moderator, Muhammad Danial Akmal Hamdan, M Eswaran dan Tan Ray Ming. - Foto Ihsan LEGASI
Ahli panel forum ‘Rukun Negara: Teras Perpaduan Kaum Dalam Menghayati Kemerdekaan’ (dari kiri) Atiqurrahman Rosdi selaku moderator, Muhammad Danial Akmal Hamdan, M Eswaran dan Tan Ray Ming. - Foto Ihsan LEGASI

Rukun Negara: Jangan hanya lafaz, perlu hayati dan amal

PUTRAJAYA: Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI) dengan kerjasama Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menganjurkan forum bertajuk 'Rukun Negara: Teras Perpaduan Kaum Dalam Menghayati Kemerdekaan' sempena 50 Tahun Rukun Negara.

Forum ini diadakan agar masyarakat dapat menghayati prinsip Rukun Negara, menyuntik semangat patriotisme dalam diri khasnya dalam kalangan generasi muda dan membentuk keperibadian rakyat negara ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan yang juga Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, berkata toleransi, persefahaman dan sikap saling menghormati menjadi asas kepada perpaduan rakyat Malaysia.

Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan (tengah) mengetuai peserta forum ‘Rukun Negara: Teras Perpaduan Kaum Dalam Menghayati Kemerdekaan’ membaca ikrar Rukun Negara. - Foto Ihsan LEGASI
Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan (tengah) mengetuai peserta forum ‘Rukun Negara: Teras Perpaduan Kaum Dalam Menghayati Kemerdekaan’ membaca ikrar Rukun Negara. - Foto Ihsan LEGASI

"Semangat seumpama ini perlu dikembangkan dan diperkukuhkan khususnya dalam kalangan generasi muda supaya kekuatan dan keunikan ini terus dihayati bagi membina Malaysia sebagai sebuah negara yang teguh, aman dan makmur," katanya.

Forum membariskan tiga wakil mahasiswa selaku ahli panel, iaitu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga Naib Presiden 1 Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Danial Akmal Hamdan; Felo Perdana di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, M Eswaran dan Naib Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkap Pengerusi Kelab Mahasiswa MCA, Tan Ray Ming.

Majlis dimulakan dengan ikrar Rukun Negara yang dilafazkan oleh semua 100 peserta yang hadir dari kalangan kakitangan arkib, pensyarah, kesatuan mahasiswa, guru dan pelajar sekolah menengah.

Menjawab soalan mengenai sejauh mana pentingnya rakyat Malaysia, khasnya generasi muda memahami dan menghayati Rukun Negara, Mohamad Danial menjelaskan, semestinya tidak cukup hanya dengan memahami tanpa menghayati.

"Kita boleh lihat sendiri betapa kurangnya penghayatan Rukun Negara dalam masyarakat kita yang saban tahun ada saja isu tidak menghormati Jata Negara, isu bendera dipasang secara terbalik, Jalur Gemilang dihitamkan dan isu lain yang menyentuh sensitiviti semangat kenegaraan.

"Sekiranya benar rakyat kita memahami dan menghayati serta beramal dengan Rukun Negara, nescaya isu-isu begini tidak akan terjadi," katanya.

Eswaran pula menambah, jika wujud ketidakstabilan perpaduan, ia mungkin membawa kepada berulangnya Tragedi 13 Mei.

"Sehubungan itu, kita perlu mencontohi pejuang atau pemimpin terdahulu seperti Tun VT Sambanthan, Tun Tan Cheng Lock, Kolonel HS Lee, Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Maharaja Lela. Mereka mempunyai satu titik persamaan iaitu semangat cintakan tanah air.

"Kita perlu ambil iktibar, terapkan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan pejuang serta pemimpin terdahulu. Asasnya ialah dengan menerapkan nilai-nilai Rukun Negara dalam diri anak-anak muda dan mengamalkannya," katanya.

Sementara itu, Ray Ming pula berkata, jika Rukun Negara hendak digunakan sebagai alat perpaduan kaum, rakyat jangan hanya tahu melafaz, sebaliknya perlu menghayati dan mempraktikkannya.

"Contohnya dalam dunia media sosial sekarang, pelbagai isu, gambar dan video dimuat naik dan dikongsi dengan seluruh netizen di alam maya. Apa yang dikongsi itu tidak semestinya menggambarkan isu sebenar.

"Jika setiap prinsip Rukun Negara difahami dan dalam konteks ini, Kesopanan dan Kesusilaan, maka tidak akan timbul perkara yang tidak diingini," katanya.

Abdullah dalam teks kata aluannya, berkata pencapaian negara yang membanggakan hari ini adalah disebabkan oleh satu perkara, iaitu kesanggupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk bersatu di bawah satu identiti dan nilai yang sama demi kemakmuran serta kesejahteraan sejagat.

Berita Harian X