Selasa, 11 Ogos 2020 | 1:14pm
Taman Eko-Rimba Mossy Forest ditutup sementara bagi penyelenggaraan jalan sepanjang 4.9 kilometer.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Taman Eko-Rimba Mossy Forest ditutup sementara bagi penyelenggaraan jalan sepanjang 4.9 kilometer.- Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Taman Eko-Rimba Mossy Forest ditutup sementara

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup sementara Taman Eko-Rimba (TER) Mossy Forest dan aktiviti mendaki Gunung Irau, Cameron Highlands bermula semalam hingga 25 September depan.

Penutupan itu bagi tujuan penyelenggaraan jalan sepanjang 4.9 kilometer (km) ke kawasan berkenaan yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong, berkata penutupan TER Mossy Forest dan aktiviti mendaki Gunung Irau perlu dilakukan bagi melancarkan kerja penyelenggaraan jalan ke dua-dua lokasi terbabit.

Katanya, kerja penyelenggaraan jalan dilakukan dalam usaha memberi lebih keselesaan kepada pengunjung yang berkunjung ke kawasan berkenaan dan menjadi lokasi utama pelancong dalam serta luar negara.

Katanya, Mossy Forest dikunjungi hampir 300 pengunjung setiap hari dan jumlahnya bertambah sekali ganda pada hujung minggu serta cuti umum.

"Pelancong berpeluang berjalan di atas laluan kayu sepanjang 200 meter sambil melihat keunikan pelbagai jenis pokok dan tarikan utama di Mossy Forest ialah lumut yang banyak terdapat pada batang pokok dan tunggul kayu.

"Terdapat juga menara yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan Gunung Irau yang diselaputi kabus dan udara segar," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang Mac hingga Disember tahun lalu, seramai 73,586 pelancong datang ke Mossy Forest dan ia memberi pendapatan sebanyak RM940,895 kepada JPNP menerusi kutipan pintu masuk.

Bagaimanpuan, katanya jumlah pengunjung ke Mossy Forest tahun ini berkurangan, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun apabila selepas kerajaan memberi kelonggaran perjalanan kini pelancong mula bertambah.

Berita Harian X