Jumaat, 7 Ogos 2020 | 10:46pm
Motosikal mangsa yang maut selepas terbabas di bawah jejantas Bulatan Abang Kipali, Petra Jaya, di sini, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis
Motosikal mangsa yang maut selepas terbabas di bawah jejantas Bulatan Abang Kipali, Petra Jaya, di sini, awal pagi tadi. - Foto ihsan polis

Polis cari waris mangsa kemalangan

KUCHING: Polis sedang mengesan waris seorang lelaki yang maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di bawah jejantas Bulatan Abang Kipali, di Petra Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata mangsa yang maut di tempat kejadian tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Pada jam 2.45 pagi hari ini (Jumaat), petugas kaunter aduan trafik menerima maklumat daripada Gerakan Kuching memaklumkan ada satu kes kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal di bawah jejantas Bulatan Abang Kipali.

"Siasatan awal mendapati motosikal dipercayai datang dari arah pusat bandar menuju ke arah Petrajaya terbabas di bawah jejantas itu sebelum melanggar dinding terowong," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Alexson berkata, mangsa menunggang motosikal Yamaha 135LC dengan nombor pendaftaran QAA4194R.

"Polis meminta orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau mengenali mangsa tampil membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X