Jumaat, 24 Julai 2020 | 10:06am
Tekong bersama lima awak-awak termasuk empat warga asing yang ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang semasa menjalankan rondaan Op Benteng di kedudukan 0.5 batu nautika dari Barat Laut Pulau Tikus, di sini. - Ihsan Maritim Malaysia
Tekong bersama lima awak-awak termasuk empat warga asing yang ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang semasa menjalankan rondaan Op Benteng di kedudukan 0.5 batu nautika dari Barat Laut Pulau Tikus, di sini. - Ihsan Maritim Malaysia

Tekong, lima awak-awak termasuk 4 Rohingya ditahan

GEORGETOWN: Tekong bersama lima awak-awak termasuk empat warga asing ditahan semasa pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan Kelas A di kedudukan 0.5 batu nautika dari Barat Laut Pulau Tikus, di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun, berkata pemeriksaan itu dibuat dalam rondaan sempena Op Benteng mendapati bot tanpa pendaftaran itu dinaiki tekong warga tempatan berusia 37 tahun dan lima awak-awak yang mana empat daripadanya dipercayai etnik Rohingya, berusia antara 19 hingga 33 tahun,

"Selain tekong dan awak-awak, bot termasuk dua pukat hanyut, tiga tong ikan, satu motor penarik pukat dan peralatan lain dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah," katanya hari ini.

Orang awam boleh bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau 04-2643650.

Berita Harian X