Rabu, 22 Julai 2020 | 4:30pm

Banduan bimbing rakan

KOTA BHARU:Seramai 65 naqib (ketua usrah) dilantik dalam kalangan banduan di Kelantan, melalui Pembimbing Agama Rakan Sebilik (PARAS).

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob, berkata jumlah itu membabitkan banduan dari pelbagai kategori tahanan di penjara Pengkalan Chepa, Machang dan Pusat Reintegrasi Penghuni Kem Desa Pahlawan, di sini.

Katanya, PARAS berjaya mencungkil bakat dan ilmu agama dalam kalangan banduan sekali gus melantik mereka sebagai ketua di setiap sel untuk menjadi imam solat berjemaah.

"Naqib yang dilantik bertanggungjawab membimbing rakan banduan yang lain, terutama dari segi keagaamaan termasuk cara solat dan bacaan ayat suci al-Quran, selain turut dibantu tenaga pengajar yang berpengalaman.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kegiatan banduan di penjara turut terjejas. Namun, kami menjalankan program keagamaan selain memastikan banduan menunaikan solat jemaah lima waktu secara serentak, di sel masing-masing.

"Bagaimanapun, semua ini dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menjaga penjarakan sosial. Selain itu, terdapat juga pertandingan hafazan, tadarus, serta program khatam al Quran," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Azan dan Iqamat peringkat penghuni penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Katanya, seramai 50 banduan membabitkan tahanan kategori reman, lama dan singkat mengambil bahagian pertandingan itu. Seramai 21 peserta berjaya ke peringkat akhir hari ini.

"Pemenang tempat pertama dalam pertandingan hari ini dilantik menjadi muadzin atau bilal masjid penjara, selain memudahkan kakitangan di sini mengenal pasti banduan yang boleh menggalas tanggunjawab sama pada masa akan datang.

"Tambahan pula, pihak penjara sendiri mahu menerapkan ilmu agama dalam diri banduan di Kelantan agar apabila bebas nanti, mereka tidak lagi 'terbabas' ke jalan yang salah.

"Semua program yang dijalankan bertujuan membentuk sahsiah diri yang baik agar golongan banduan tidak dipandang rendah masyarakat dan yang paling penting menjadikan mereka insan yang lebih baik kelak," katanya.

Pada masa sama, penjara wanita Pengkalan Chepa turut menerima sumbangan mesin basuh dan mesin pengering daripada Persatuan Orang Kota Bharu, bernilai RM5,000.

Juri menilai alunan azan seorang banduan yang menyertai Pertandingan Azan dan Iqamat peringkat penghuni penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. - Foto NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
Juri menilai alunan azan seorang banduan yang menyertai Pertandingan Azan dan Iqamat peringkat penghuni penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini. - Foto NSTP/SYAHERAH MUSTAFA
Berita Harian X