Selasa, 7 Julai 2020 | 12:21pm
Sebanyak 3,641kg minyak masak membabitkan nilai RM13,176 disita penguat kuasa KPDNHEP Taiping dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Simpang, Taiping, semalam. Foto ihsan KPDNHEP
Sebanyak 3,641kg minyak masak membabitkan nilai RM13,176 disita penguat kuasa KPDNHEP Taiping dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Simpang, Taiping, semalam. Foto ihsan KPDNHEP

3,641kg minyak masak disita, jual di rumah tanpa lesen

TAIPING: Sebanyak 3,641 kilogram minyak masak disita penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Taiping hasil serbuan terhadap sebuah rumah di Simpang, di sini, semalam selepas disyaki menjual barangan itu tanpa lesen.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Perak, V Ravichandran, berkata serbuan jam 11 pagi semalam dijalankan lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP Taiping berasaskan aduan orang ramai.

Siasatan awal mendapati premis berkenaan menjual minyak masak yang juga barangan kawalan berjadual tanpa lesen sah kepada peruncit dan pengusaha kantin sekolah sekitar kawasan Bukit Gantang dan Taiping.

"Kita menyita semua minyak masak dalam premis terbabit bersama dokumen dan transaksi jualan, membabitkan nilai sitaan sebanyak RM13,176.

"Peniaga itu melakukan kesalahan mengikut Perkara 21 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana melanggar Perkara 3(1) peraturan sama iaitu berurus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah yang dikeluarkan KPDNHEP.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian X