Isnin, 22 Jun 2020 | 11:14am
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi dibantu Nurfazliza Kamarulbahrin menanam pokok balak di Hutan Simpan Berkelah yang diceroboh untuk ditanam kelapa sawit - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi dibantu Nurfazliza Kamarulbahrin menanam pokok balak di Hutan Simpan Berkelah yang diceroboh untuk ditanam kelapa sawit - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Jabatan Perhutanan tanam balak di hutan diceroboh

MARAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mula menanam semula sebanyak 8,000 pokok balak pelbagai spesis di kawasan ceroboh Kompartment 141 Hutan Simpan Berkelah, semalam.

Penanaman semula pokok balak itu berikutan hutan simpan berkenaan diceroboh pihak tertentu sebelum ini untuk dijadikan ladang kelapa sawit dan dijual kepada pihak ketiga.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi, berkata program lima hari berakhir semalam itu disertai lebih 150 kakitangan semua Pejabat Hutan Daerah (PHD) di negeri ini.

Katanya, program fasa pertama yang dibahagikan kepada lima blok atau bahagian membabitkan kawasan hutan ceroboh seluas 40 hektar.

Siasatan lanjut mendapati keseluruhan kawasan yang diceroboh untuk tanaman kelapa sawit kira-kira 85 hektar.

Menurutnya, selepas selesai Operasi Tebas minggu lalu yang menumpukan kepada aktiviti memusnahkan pokok kelapa sawit menggunakan jentera dan tenaga manusia, program menanam balak fasa kedua akan diteruskan dalam masa terdekat.

"Kita ingin memastikan kawasan Hutan Simpan Berkelah yang diceroboh secara berskala besar hingga turut menyebabkan berlaku pencemaran air di Taman Eko Rimba (TER) Berkelah kembali pulih dengan taburan pokok balak yang sesuai seterusnya memberi hasil kepada kerajaan negeri suatu hari nanti.

"Fasa pertama tanaman membabitkan pokok seperti meranti, balau dan tulang daing. Kajian mendapati spesis berkenaan sesuai di kawasan terbabit yang turut terdapat beberapa bukit," katanya pada program menanam pokok balak di Hutan Simpan Berkelah, semalam.

Beliau berkata, kerjasama PHD berjaya melancarkan lagi program menanam sebanyak 8,000 pokok yang hanya mengambil masa selama lima hari untuk disiapkan.

Sementara itu Penolong Pengarah Silvikultur (Zon Pahang Timur I), Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, pihaknya mengadakan program menanam pokok balak secara gotong-royong bagi memastikan kawasan terbabit dapat segera dipulihkan tanpa memerlukan perbelanjaan yang terlalu tinggi.

Menurutnya, penerokaan kawasan hutan berskala besar itu boleh mengundang pencemaran sumber air dan hakisan selain turut menjejaskan alam sekitar.

"Program menanam pokok di kawasan Hutan Simpan Berkelah perlu dilakukan dalam usaha untuk memulihkan ekosistem hutan simpan berkenaan yang kini terjejas teruk.

"Kemusnahan hutan jelas dapat dilihat selepas ia dibersihkan yang turut membabitkan beberapa bukit," katanya yang turut akan mengadakan beberapa program menanam pokok selepas ini.

Berita Harian X