Sabtu, 20 Jun 2020 | 5:08pm
Antara lembu jantan yang diseludup masuk dari negara jiran dan dipercayai untuk dijual di pasaran Kelantan. - Foto IHSAN PGA
Antara lembu jantan yang diseludup masuk dari negara jiran dan dipercayai untuk dijual di pasaran Kelantan. - Foto IHSAN PGA

Tak sempat jual lembu rentas sempadan

TUMPAT: Tujuh lembu yang dibawa menyeberang Sungai Golok dari negara jiran, tidak sempat dijual apabila dirampas pihak berkuasa dalam serbuan di Kampung Nibong di sini, pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi, berkata lembu jantan dianggar bernilai RM42,000 itu dipercayai diseludup ke negara ini menggunakan perahu secara berulang-alik.

Beliau berkata, anggota PGA membuat intipan bermula jam 4.10 pagi tadi di kawasan pangkalan haram Pok Soh, Nibong, di sini.

"Tidak lama selepas itu, anggota kami melihat sekumpulan individu menaikkan beberapa ekor lembu ke dalam perahu dari negara jiran untuk menyeberangi Sungai Golok memasuki Kelantan.

"Intipan mendapati beberapa lelaki menunggu di tebing Sungai Golok di sini, dipercayai untuk membawa ternakan itu ke lokasi seterusnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lembu yang diseludup masuk dari negara jiran dianggar bernilai RM42,000 dirampas oleh anggota Batalion 7 PGA di kawasan bendang di Kampung Nibong, Tumpat, Kelantan, pagi tadi. - Foto IHSAN PGA
Lembu yang diseludup masuk dari negara jiran dianggar bernilai RM42,000 dirampas oleh anggota Batalion 7 PGA di kawasan bendang di Kampung Nibong, Tumpat, Kelantan, pagi tadi. - Foto IHSAN PGA

Azhari berkata, anggota mengekori mereka hingga ke kawasan bendang di Kampung Nibong, sebelum membuat serbuan.

Selepas memperkenalkan diri, semua suspek melarikan diri dan meninggalkan ternakan terbabit di kawasan bendang.

"Siasatan awal mendapati lembu jantan dianggar bernilai RM42,000 ini disyaki diseludup masuk untuk pasaran di Kelantan.

"Ternakan itu dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 11, Akta MAQIS 201," katanya.

Azhari berkata,sepanjang sepanjang tempoh penugasan Op Benteng COVID-19 dalam tempoh lima hari bermula Selasa lalu hingga hari ini, Batalion 7 PGA mencatat 11 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM577,793.

Katanya, ia membabitkan rampasan ternakan, barangan kontraban, kosmetik, elektrik, pelbagai jenis pakaian, dadah, ketum serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kami mengutamakan kawalan sempadan daripada diceroboh PATI bagi mengekang penularan COVID-19.

"PGA sentiasa memastikan penyeludupan dapat dikawal sepenuhnya di sempadan bagi menjamin ekonomi negara," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X