Selasa, 16 Jun 2020 | 9:16pm
- foto hiasan
- foto hiasan

Dijangkiti penyakit kencing tikus selepas beriadah di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut

KUALA TERENGGANU: Siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mendapati semua mangsa yang disyaki dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus selepas melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut pada 1 hingga 4 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, mangsa ialah seorang lelaki berusia 29 tahun yang meninggal dunia pada jam 1.20 pagi semalam serta empat lagi individu berusia 30 hingga 32 tahun dari Dungun yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau berkata, semua empat mangsa itu berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.

"Semua pesakit menunjukkan gejala menyerupai gejala penyakit leptospirosis seperti demam, sakit sendi (arthralgia), sakit otot (myalgia), cirit-birit dan muntah. Namun begitu, pihak JKNT masih lagi menunggu pengesahan ujian makmal.

"Hasil siasatan mendapati semua pesakit dipercayai mempunyai sejarah melakukan leptospirosis atau kecing tikus aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut pada 1 hingga 4 Jun lalu bersama sembilan orang individu yang lain.

"JKNT masih lagi menjalankan siasatan dan pengesanan kes bagi individu lain yang menyertai aktiviti rekreasi berkenaan," katanya melalui satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan JKNT, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, lelaki berusia 29 tahun yang meninggal dunia itu juga didapati mempunyai gejala dijangkiti penyakit kencing tikus dan turut sama menyertai aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut bersama empat pesakit yang sedang menerima rawatan.

Penyakit Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen Leptospira, yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia. Bakteria Leptospira boleh terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain.

Beliau juga berkata, antara tanda dan gejala jangkitan termasuk demam menggigil, sakit kepala, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit- birit, batuk dan ruam di kulit.

"Penyakit kencing tikus yang berpunca daripada masalah kebersihan persekitaran yang berhubung kait dengan amalan kebersihan diri. Kebersihan persekitaran hendaklah diberi perhatian yang tinggi dalam mengawal pembiakan tikus dan penyakit bawaan haiwan," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai sentiasa mengamalkan langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan penyakit kencing tikus termasuk menjaga kebersihan persekitaran rumah, premis, premis makanan dan tempat rekreasi supaya bebas daripada tikus dan haiwan perosak yang lain.

"Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam, sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna," katanya.

Berita Harian X