Ahad, 14 Jun 2020 | 5:41pm

Balu mangsa lemas tak sangka dapat pencen seumur hidup

KOTA BHARU: "Saya tak sangka arwah suami ada pencen penakat yang ditinggalkan buat kami selepas dia pergi buat selama-lamanya," kata Masnita Mustaffa, 42.

Masnita adalah balu kepada Wan Hafizan Wan Hussein, 42, yang ditemui lemas di sungai Kampung Sakar, Salor pada 7 Jun lalu selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing berhampiran rumahnya.

Beliau yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya besar di sini, berkata kali terakhir awah mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah pada 2014.

Ketika itu, katanya, Wan Hafizan masih bekerja dengan sebuah agensi pelancongan sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung.

Masnita berkata, beliau hanya tahu layak menerima pencen penakat daripada PERKESO selepas dihubungi Pegawai Skuad PERKESO Prihatin dan segala urusan diselesaikan dalam tempoh seminggu.

"Dengan pencen penakat ini, sudah pasti memberi kelegaan kepada saya yang ada dua anak perlu ditanggung, iaitu Wan Mohd Hafiz Daniel Wan Hafizan, 18, dan Wan Mohd Hafiy Darwish, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Salor.

"Selepas kematian suami, saya hilang tempat berpaut dan pencen penakat ini sedikit sebanyak dapat membantu kami tiga beranak meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 kepada Masnita.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Salor, Saiful Adli Abu Bakar dan ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Sementara itu, Nora berkata, melalui Skuad PERKESO Prihatin Negeri, pihaknya bertindak mengesan waris mangsa sebaik mendapat maklumat hasil laporan media.

"Hasil semakan kami mendapati arwah pernah mencarum dengan PERKESO sebelum ini dengan majikan terakhir pada 2010 sehingga 2014 dan layak mendapat pencen penakat.

"Walaupun sebelum kematiannya, arwah bekerja sendiri dan tidak lagi mencarum dengan PERKESO, hasil caruman terdahulu melayakkan warisnya menerima pencen penakat," katanya.

Katanya, Masnita layak mendapat RM475 sebulan seumur hidup, manakala anak-anak layak menerima bayaran pencen berkenaan sehingga mereka berusia 21 tahun atau sehingga mendapat ijazah pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi (tiga kiri) menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat (FPM) RM2,000 kepada Masnita Mustaffa (tiga kanan) di Kampung Padang Sakar, Salor di Kota Bharu, Kelantan. - Foto Hazira Ahmad Zaidi
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi (tiga kiri) menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat (FPM) RM2,000 kepada Masnita Mustaffa (tiga kanan) di Kampung Padang Sakar, Salor di Kota Bharu, Kelantan. - Foto Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X