Rabu, 10 Jun 2020 | 3:12pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

100 lokasi Seremban, Port Dickson terputus bekalan air

SEREMBAN: Lebih 100 lokasi dan penempatan membabitkan daerah Seremban dan Port Dickson (PD) mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam bermula jam 8 pagi tadi, susulan penutupan sementara serta merta Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail, berkata, penutupan LRA itu berikutan pencemaran bau pada air mentah di sungai berkenaan, semalam.

Katanya, kawasan PD yang terbabit dengan gangguan sementara itu termasuk Kelab Golf & Country Club, PD Perdana, Desa Lagun Resort, Kem Batu 4 dan 5 Jalan Pantai, Selesa Beach Resort, Hotel Seri Malaysia, Hotel Avillion, Hotel Risda, Kilang Cabot, Hotel Corus, Hotel Sunshine Bay, Sekolah Datuk Abdul Samad, Petron Refinery, Henyuan (Shell), Pusat Hemodialisis Batu 1 Jalan Pantai.

"Selain itu, seluruh kawasan PD Water Front, Pekan PD, TNB (Tuanku Jaafar), Hotel Leparis, Klinik Kesihatan (Hospital Lama), Seafront Hotel, Hotel Lexis, Glory Beach Resort, Hotel Grandpa Dataran Segar dan seluruh kawasan Pekan Lukut sehingga seluruh kawasan Spring Hill.

"Turut terjejas ialah kawasan Kualiti Alam dan Jimah Power Plant, Escort Estet, Kampung Sawah Sunggala, Bandar Sunggala dan kawasan perumahan Sirusa, seluruh kawasan Lukut, Siliau, Bukit Palong, D'Ambang Kota, Perindustrian Perdana Bukit Palong, Jimah, Tanah Merah Site C dan seluruh kawasan Bukit Pelandok serta Chuah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini..

Norzita berkata, bagi kawasan Seremban pula termasuk Taman Pinggiran Senawang, kawasan Sungai Gadut, Senawang Perdana, seluruh kawasan Rantau, Kuala

Sawah, Industri Nilam Ribu dan Seliau.

Menurutnya, selain itu turut terjejas adalah sebahagian kawasan Sendayan dan sekitarnya.

Katanya, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat sehingga pencemaran dapat di atasi.

"SAINS akan terus memberikan maklumat terkini melalui laman rasmi SAINS ww.sainswater.com," katanya.

Dalam pada itu, Norzita mengingatkan pengguna untuk bersedia dengan tangki simpanan bagi mengelakkan kemungkinan gangguan dalam waktu yang tidak dijangkakan atau lebih lama.

Beliau berkata, peraturan itu jelas seperti termaktub melalui Akta Industri perkhidmatan Air 2006, Kaedah-kaedah industri perkhidmatan air (retikulasi air dan pemasangan paip) 2014 bahagian IV Divisen 4 Kaedah 50(1).

"Pengguna dimaklumkan perlu mempunyai tangki simpanan air bagi tempoh sekurang-kurangnya 24 jam apabila berlaku gangguan bekalan air yang disebabkan paip pecah atau kerja-kerja kecemasan di tapak," katanya.

Berita Harian X