Rabu, 10 Jun 2020 | 1:29pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan, duduk) melihat abang sulungnya, Ismail menyiram air mawar di pusara bapanya, Harun Selamat, yang dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah, Chuah, Port Dickson - Foto NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Jenazah bapa MB Negeri Sembilan dikebumikan

PORT DICKSON: Jenazah bapa Menteri Besar Negeri Sembilan, Allahyarham Harun Selamat, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah di sini pagi ini.

Terdahulu, jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di kediaman arwah di Kampung Pachitan di sini kira-kira jam 10 pagi sebelum dikebumikan.

Aminuddin anak bongsu daripada lima beradik itu turut menjadi imam solat jenazah bapa di perkarangan rumah bersama hampir 100 orang.

Turut hadir menziarahi jenazah arwah, Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; anggota EXCO Negeri dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafie Mustapha.

Sementara itu, Aminuddin berkata, arwah ayahnya adalah orang yang banyak memberi sumber inspirasi dan sering menasihatkan dia dan adik beradiknya agar berbudi kepada tanah kerana mereka dididik untuk berbakti kepada tanah.

"Beliau seorang yang tegas dalam mendidik kami adik beradik dan Alhamdulillah kami berjaya kerana diajar susah untuk mendapatkan sesuatu," katanya.

Berita Harian X