Jumaat, 5 Jun 2020 | 5:51pm

Perjelas semula SOP nyahcemar

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menyatakan dengan jelas prosedur operasi standard (SOP) bahawa semburan cecair pembasmi kuman ke atas tubuh tidak dibenarkan terutama kepada kanak-kanak.

Ia berikutan penggunaan seperti itu tidak disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana tidak membunuh virus di tubuh manusia.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP terkejut dengan gambar yang dilapor dalam sebuah akhbar yang menujukkan wanita menyembur cecair pembasmi kuman daripada botol kepada sekumpulan kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak atau taska.

"Menyembur pelajar dengan cecair pembasmi kuman mungkin akan menjadi lebih berleluasa memandangkan lebih banyak prasekolah, sekolah dan institut pendidikan tinggi akan dibuka semula.

"Sehubungan itu, CAP menggesa semua pusat jagaan yang memulakan operasi supaya menghenti segera menyembur kanak-kanak dengan cecair pembasmi kuman.

"Tambahan pula mata dan selaput lendir kanak-kanak lebih sensitif terhadap kimia yang terdedah," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, CAP juga pasti bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya mengharamkan semburan cecair pembasmi kuman kepada seseorang yang melalui ruang atau terowong nyahcemar atau dengan menggunakan botol semburan.

WHO turut melaporkan bahawa tempoh seseorang itu disembur dalam proses berkenaan ialah kira-kira 20 hingga 30 saat dan ia tidak cukup bagi menghapuskan virus.

"Menyembur bahagian luaran tubuh menggunakan bahan kimia seperti alkohol atau klorin tidak membunuh virus di dalam tubuh dan ibu bapa juga bimbang dengan amalan seperti itu.

"Sebaliknya, menyembur klorin, alkohol atau bahan kimia toksik lain terhadap manusia boleh menyebabkan kegatalan kulit, bronchospasm dan kesan gastrousus.

"Saranan yang diguna pakai di seluruh dunia ialah memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun dan mengamalkan penjarakan sosial ," katanya lagi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X