Jumaat, 5 Jun 2020 | 1:20pm
Imej dari video yang ditularkan menunjukkan ribuan ikan mati dikatakan berlaku di perairan Pulau Pinang yang dikaitkan dengan fenomena HAB - Foto NSTP/Ihsan pembaca
Imej dari video yang ditularkan menunjukkan ribuan ikan mati dikatakan berlaku di perairan Pulau Pinang yang dikaitkan dengan fenomena HAB - Foto NSTP/Ihsan pembaca

Jaga-jaga fenomena alga beracun

KANGAR: Nelayan di negeri ini diminta berhati-hati berikutan fenomena 'Harmful Algae Bloom' (HAB) mula menyerang beberapa bahagian perairan di wilayah utara Semenanjung.

Pengarah Perikanan Perlis, Ismail Ibrahim, berkata setakat ini perairan di Perlis masih terkawal dan pihaknya masih belum menerima sebarang kes berkaitan fenomena itu.

Menurutnya, fenomena itu boleh menyebabkan makanan laut dikhuatiri beracun dan memberi kesan kepada pemakannya.

"Namun kita nasihatkan kepada nelayan atau pemancing yang membuat sebarang aktiviti di laut untuk terus menghubungi Jabatan Perikanan sekiranya nampak air laut bertukar menjadi warna merah.

"Jika perkara itu berlaku, bererti fenomena itu sedang melanda di perairan negeri ini.

"Pada masa yang sama, jika fenomena itu mula melanda orang awam diminta tidak makan hidupan laut yang bercengkerang seperti kerang, siput kepah serta ikan-ikan kerana dikhuatiri dicemari alga berbahaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bagi hidupan lain seperti sotong dan lainnya, orang awam dinasihati agar membuang organ dalaman dan mencuci hidupan itu dengan sebersih-bersihnya selain dimasak sepenuhnya untuk mengelakkan keracunan makanan.

"Kita khuatir dengan memakan kerang-kerangan yang dicemari alga beracun boleh menyebabkan mangsa berasa kebas di mulut dan mual hingga membawa kepada kelumpuhan otot dada dan perut.

"Sekiranya tidak dirawat dengan segera, mangsa juga boleh maut," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial hidupan laut yang diternak ditemui mati dan terapung di dalam sangkar dipercayai berlaku di Pulau Pinang pada 26 Mei lalu.

Jabatan Perikanan Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook berkata siasatan awal menemui kehadiran spesies plankton atau dikenali sebagai ledakan alga Cochlodinum yang tinggi di perairan berkenaan dan ia adalah kejadian yang kerap berlaku di perairan pantai di seluruh dunia setiap tahun.

Berita Harian X