Sabtu, 23 Mei 2020 | 8:45pm
Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah
Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Makna Aidilfitri tidak luntur berikutan COVID-19

Kuala Lumpur: Semangat untuk beraya mengikut kelaziman baharu diyakini tetap tidak melunturkan makna Aidilfitri, walaupun rakyat Malaysia berdepan pelbagai kekangan berikutan pandemik COVID-19.

Pengerusi Pertubuhan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata hal itu kerana setiap perayaan menyatukan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

"Inilah uniknya negara kita Malaysia. Begitu juga kita bersatu melahirkan komuniti selamat dan membantu membendung pandemik yang melanda negara kita.

"Setiap tahun lazimnya saya berpesan supaya berhati-hati di jalan raya, namun kali ini, saya harap kita semua sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan saranan pihak berkuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Biasakan kehidupan kita dengan normal baru kerana Aidilfitri tahun ini akan diraikan dengan situasi berbeza berbanding tahun-tahun lalu," katanya dalam perutusan Aidilfitri, hari ini.

Susulan kewujudan kes harian COVID-19 dan risiko penularan, Lam Thye berkata program balik kampung merentas negeri seperti kelaziman tidak dapat dilakukan tahun ini.

Selain itu, katanya, aktiviti ziarah terpaksa dihadkan mengikut garis panduan tertentu demi menjaga keselamatan anggota masyarakat.

"Tradisi rumah terbuka juga tidak dapat kita adakan, namun saya percaya ia tidak mengurangkan makna Aidilfitri yang akan disambut esok," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X