Sabtu, 23 Mei 2020 | 1:37pm
Timbalan Ketua Setiausaha ( Pengurusan dan Pendayaupayaan Pengguna) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP), Mohamad Zahari Razali (tengah) mengadakan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasar Awam Presint 8. NSTP/SAMADI AHMAD
Timbalan Ketua Setiausaha ( Pengurusan dan Pendayaupayaan Pengguna) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP), Mohamad Zahari Razali (tengah) mengadakan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasar Awam Presint 8. NSTP/SAMADI AHMAD

7 peniaga dikompaun langgar SHMMP

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan tujuh peniaga melakukan kesalahan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sejak dilancarkan semalam.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP, Mohamad Zahari Razali, berkata tujuh peniaga berkenaan dikesan daripada 6,974 pemeriksaan oleh penguatkuasa KPDNHEP di seluruh negara.

"Jumlah kompaun dikenakan kepada peniaga terbabit adalah berjumlah RM8,500 dan nilai rampasan adalah sebanyak RM1,661.50," katanya kepada media selepas mengadakan pemeriksaan SHMMP di Pasar Awam Presint 8 di sini, hari ini.

Mohamad Zahari berkata, sejak dilancarkan pihaknya sudah menerima sebanyak 12 aduan daripada orang awam membabitkan kesalahan peniaga yang menaikan harga barangan terkawal melebihi harga maksimum.

Dua hari lalu, Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, mengumumkan penambahan 19 barangan menjadikan jumlah barangan terkawal di bawah SHMMP adalah 35 barangan.

Nanta berkata, penambahan barangan itu adalah atas permintaan pengguna dan ia adalah barangan pilihan utama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan turut membabitkan sambutan tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Tarikh kuat kuasa penambahan 19 barangan berkenaan adalah pada 22 Mei hingga 3 Jun iaitu selama 13 hari.

Terdahulu, KPDNHEP mengumumkan harga maksimum bagi 16 barangan di bawah SHMMP yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 22 Mei hingga 3 Jun ini bagi Aidilfitri dan Pesta Kaamatan serta Hari Gawai bermula 28 Mei hingga 3 Jun.

Mohamad Zahari berkata, pemeriksaan SHMMP dibuat bagi memastikan bekalan barangan harga terkawal mencukupi di pasaran di samping memastikan alat timbang dan sukat peniaga menepati peraturan KPDNHEP.

" Peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan terkawal melebihi harga boleh dikenakan kompaun sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kompaun RM50,000.

"Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.

Orang awam boleh menyalurkan aduan dan maklumat kepada KPDNHEP melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1800 886 800, emel ke e-aduan@ kpdnhep. gov.my atau menggunakanaplikasi telefon pintar Ez ADU atau Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088.

Berita Harian X