Sabtu, 23 Mei 2020 | 1:17pm
Kenderaan melalui Jalan Bandar Gua Musang menuju ke Jalan Kuala Krai trafik kurang sesak menjelang Aidilfitri tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. NSTP/RAMLI IBRAHIM
Kenderaan melalui Jalan Bandar Gua Musang menuju ke Jalan Kuala Krai trafik kurang sesak menjelang Aidilfitri tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. NSTP/RAMLI IBRAHIM

3 laluan masuk ke Kelantan lenggang

GUA MUSANG: Tiga laluan utama masuk ke Kelantan iaitu Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli lenggang menjelang sambutan Aidilfitri esok, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang aktiviti merentas negeri.

Tinjauan mendapati, laluan masuk ke Kelantan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Lojing sunyi daripada kenderaan yang kebiasaanya bertali arus dan padat sehingga mencecah hampir sejuta kenderaan pada setiap kali sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin mengakui kenderaan di jalan raya melalui pintu masuk ke Kelantan di Gua Musang tidak serancak musim perayaan tahun lalu.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan jumalah kenderaan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis menuju ke Kota Bharu sejak tiga hari lalu tetapi tidak menyebabkan kesesakan.

"Pihak kami meningkatkan pemeriksaan kenderaan di sekatan itu di Kampung Panggong Lalat, Jalan Gua Musang-Lojing bagi memastikan hanya mereka yang ada surat kebenaran rentas negeri sahaja berbuat demikian," katanya di sini, hari ini.

Mohd Taufik berkata, setiap surat kebenaran rentas negeri masuk ke Kelantan juga disemak sebaiknya.

Bagaimanapun buat masa ini, belum ada yang diarah berpatah balik kerana kebanyakannya mempunyai surat kebenaran. Namun tindakan itu akan diambil sekiranya ada yang gagal berbuat demikian.

Berita Harian X