Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:37am
Anak pengasas kosmetik Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, iaitu Irdiena Hakim Jasman, 17 (kanan) menghulurkan sumbangan sempena Aidilfitri kepada Siti Fatimah Supian. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Anak pengasas kosmetik Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, iaitu Irdiena Hakim Jasman, 17 (kanan) menghulurkan sumbangan sempena Aidilfitri kepada Siti Fatimah Supian. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris

'Teruskan bersedekah seperti arwah ibu' - waris pengasas Dnars

KOTA BHARU: "Setiap perkara baik yang arwah mommy pernah buat terutama berkaitan sedekah, kami akan teruskan sampai bila-bila," kata anak pengasas kosmetik Dnars, Faziani Rohban Ahmad.

Walaupun masih di bangku sekolah, Irdiena Hakim Jasman, 17, menjadikan ibunya sebagai idola yang memang terkenal sebagai dermawan ketika hayatnya.

Irdiena yang juga pelajar Tingkatan Lima dan sedang berjinak dalam bidang perniagaan berkata, beliau sudah menempah lebih 1,000 pek biskut dan diagihkan kepada golongan asnaf seperti pernah dilakukan arwah ibunya.

"Seperti arwah, saya juga membeli biskut raya daripada beberapa pengusaha kecil-kecilan dengan niat menjana pendapatan mereka dan biskut itu diagihkan kepada asnaf.

"Jika tidak disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa sekarang, sudah pasti saya dengan dibantu keluarga sedang membuat persediaan mengadakan majlis rumah terbuka seperti kelaziman setiap tahun dibuat arwah.

"Disebabkan tidak dapat mengadakan majlis berbuka puasa dan rumah terbuka, kami menggantikannya dengan agihan sumbangan kepada golongan asnaf termasuk semua pekerja," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Irdiena terdahulu menyampaikan sumbangan dalam bentuk bantuan makanan dan kewangan kepada Siti Fatimah Supian, 35 dan anaknya, Mohd Haikal Aiman Abdullah, 5, di yang tinggal di bangsal daif di Kampung Sungai Limbat, di sini.

Irdiena berkata, abangnya, Iqbal Hakim Jasman, 21, juga aktif dalam bersedekah seperti ibu mereka dan amalan itu bukan sahaja dilakukan dalam negeri malah luar Kelantan.

"Selain sedang belajar menguruskan perniagaan arwah, saya juga menjalankan perniagaan menjual makanan secara dalam talian dan sudah berniat untuk bersedekah sebahagian keuntungan kepada mereka memerlukan," katanya.

Ditanya mengenai kerinduan terhadap ibu mereka yang genap setahun meninggal dunia, Irdiena berkata, perasaan itu tidak terucap memandangkan mereka masih memerlukan kasih sayang dan tunjuk ajar dalam meneruskan legasi.

Sambutan Aidilfitri kali ini terasa suram seperti tahun lalu selepas ibu mereka meninggal dunia ketika hari ke-13 Ramadan.

"Pada 18 Mei lalu kami membuat majlis tahlil secara tertutup sempena genap setahun arwah pergi dan bacaan Yasin akan diadakan setiap malam Jumaat.

"Aidilfitri kali ini, ziarah ke pusara arwah pada 1 Syawal tidak dapat dilakukan kerana mematuhi arahan PKPB dan walaupun berasa sedikit terkilan, kami reda dan hanya mengirimkan doa dari jauh agar rohnya tenang," katanya.

Berita Harian X