Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:33am
Orang ramai beratur lebih 400 meter untuk memasuki Pasar Awam Presint 8 Putrajaya untuk membeli keperluan sambutan Aidilfitri - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Orang ramai beratur lebih 400 meter untuk memasuki Pasar Awam Presint 8 Putrajaya untuk membeli keperluan sambutan Aidilfitri - Foto NSTP/Samadi Ahmad

Persiapan Aidilfitri lancar ketika PKPB

PUTRAJAYA: Persediaan menyambut Aidilfitri esok tetap meriah di sini ketika negara masih menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seawal jam 6 pagi, ratusan penduduk Putrajaya keluar membeli keperluan untuk menyediakan juadah lebaran di Pasar Awam Presint 8 di sini.

Mereka sanggup beratur sepanjang 400 meter untuk memasuki pasar berikutan pengenalan prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang mengehadkan pelanggan masuk ke situ untuk menjaga jarak sosial.

Tinjauan mendapati meskipun terpaksa beratur panjang, pengunjung tetap mematuhi penjarakan sosial mengikut garisan yang ditanda dan setiap pengunjung memakai pelitup muka dan diperiksa suhu sebelum memasuki pasar.

Kakitangan kerajaan, Sharifah Nadia Syed Mohd Fadzil, 42, dari Presint 8, berkata dia tidak kisah beratur panjang selama dua jam kerana pasar berkenaan mematuhi SOP.

Katanya, dia mula berbaris pada jam 7 pagi dan tidak kisah kerana pasar itu berdekatan rumah dan banyak pilihan barangan di sini terutama ketika hampir Aidilfitri.

"Kelmarin saya membeli barang keperluan membuat rendang seperti ayam dan daging dan harganya juga murah dan paling penting kami tidak bimbang untuk berbelanja di sini," katanya.

Kakitangan Imigresen, Mahmod Ahmad, 59, berkata beliau juga sudah berbaris selama dua jam bagi membeli keperluan tambahan persiapan Aidilfitri.

Menurut beliau, tujuan dia datang ke pasar itu hanyalah bagi mendapatkan santan segar bagi masakan rendang kerana santan di pasar itu berkualiti dan harganya lebih murah berbanding luar.

"Saya tidak bimbang sekiranya bekalan ayam dan daging habis dijual di sini kerana beberapa hari lepas sudah membeli secara dalam talian dan harganya juga berpatutan serta mudah tanpa bersesak-sesak," katanya.

Beberapa barangan kawalan yang dipasarkan di sini turut mematuhi peraturan seperti ayam segar dijual RM 7.50 sekilogram (kg); daging segar RM34; santan RM7.20 dan cili merah RM13.

Berita Harian X